
Ia adalah notis kedua selepas menerima notis yang sama pada malam menjelang Tahun Baharu Cina minggu lalu.
Menurut notis itu, penduduk diarah mengosongkan kediaman mereka menjelang 14 Mac.
Penduduk yang kebanyakannya warga emas adalah keturunan keluarga yang menetap di Kampung Sungai Dua sejak hampir satu abad lalu, tanpa hak milik tanah yang sah. Menurut penduduk di situ, sejak sekian lama mereka masih dianggap sebagai setinggan.
Ketua Kuil Tao Tan Hock Chye, 57, berkata, dia bingung sebaik pegawai dari pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) datang untuk menampal “notis merah” hari ini.
“Ini adalah amaran terakhir buat kami. Mereka tidak menyediakan rumah lain atau pampasan kepada kami,” kata Setiausaha Persatuan Dewa Tai Hoo Tian Dua Gee Ya Peh ketika ditemui wartawan.
Tapak seluas lima hektar di tebing Sungai Dua itu diperuntukkan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk membina ibu pejabat polis Pulau Pinang yang baharu.
Menurut ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam, sebilangan penduduk menerima pembayaran ex gratia sebanyak RM27,200 untuk keluar pada 2007.
Katanya, daripada 34 keluarga di sana, hanya beberapa sahaja yang menerima tawaran itu. Sebaliknya penduduk lain mahukan rumah gantian sebagai sebahagian daripada pampasan penuh.
Kumaresan berkata, isu itu reda seketika apabila projek berkenaan tidak dijalankan. Bagaimanapun, ia kembali berjalan pada 2018 apabila sepucuk surat dihantar kepada semua penghuni di kampung terbabit.
Notis pengusiran itu mengarahkan 57 hartanah termasuk 34 rumah, lima perniagaan, tujuh harta industri dan 11 yang lain seperti kedai, kuil dan bengkel serta sebahagian daripada sekolah memandu di seberang sungai dikosongkan menjelang 14 Mac.
Kumaresan berkata, nasib empat kuil Tao dan kuil Hindu juga masih tidak diketahui. Katanya, sekurang-kurangnya apa yang dapat dilakukan oleh kerajaan persekutuan adalah menawarkan sebidang tanah alternatif kepada mereka.
Katanya, dia kini merayu kerajaan Pulau Pinang untuk campur tangan. Penduduk juga cuba mendapatkan nasihat undang-undang mengenai cara menangguhkan pengusiran itu.
“Kami tiada masalah kalau polis ingin membina ibu pejabat baharu mereka di sini, tetapi setidaknya penduduk perlu diberi rumah gantian dan pampasan yang adil,” katanya.