Rosmah diperintah bela diri kes rasuah projek solar

Rosmah diperintah bela diri kes rasuah projek solar

Pihak pendakwa raya berjaya membuktikan terdapat prima facie berhubung tuduhan.

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah Mansor membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar bernilai RM1.25 bilion di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

“Saya mendapati pihak pendakwa raya berjaya membuktikan terdapat prima facie bagi semua pertuduhan,” kata hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Oleh itu, saya mengarahkan tertuduh membela dirinya.”

Hakim berkata, wujud anggapan terhadap Rosmah di bawah Seksyen 50 Akta Pencegahan Rasuah 2009.

Ini bermakna Rosmah dianggap menerima wang rasuah tersebut dan beliau harus membuat penjelasan untuk menyangkal anggapan tersebut berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Jurubahasa mahkamah kemudian menjelaskan kepada Rosmah tiga pilihan untuk beliau mengemukakan pembelaan:

  • Memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi yang bermakna beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
  • Memberi kenyataan dari kandang saksi tetapi kenyataan tersebut tidak banyak memberi impak kerana beliau tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan.
  • Berdiam diri, yang boleh menyebabkan hakim tiada pilihan lain selain mendapati beliau bersalah.

Rosmah memberitahu mahkamah beliau memilih pilihan pertama, iaitu memberi keterangan bersumpah.

Peguam Jagjit Singh berkata, pihak pembelaan akan memanggil lima atau enam saksi.

Kes pembelaan dijadualkan didengar pada 9, 10,15, 16, 17, 22, dan 23 Jun, serta 12 dan 15 Jul.

Pihak pendakwaan telah memanggil 23 saksi untuk membuktikan kes mereka sejak perbicaraan bermula pada 5 Feb tahun lalu.

Rosmah, 69, dituduh meminta suapan sebanyak RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantu beliau ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan projek sistem solar photovoltaic (PV) hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel tersebut secara rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau juga didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.