
Ruddy Nezeri Kamarudin, 38, membuat pengakuan itu selepas 34 tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim S Indra Nehru.
Dia turut berdepan hukuman tambahan penjara 14 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Ruddy yang bertugas di Jabatan Perbendaharaan dan Sistem Maklumat MDKpr didakwa memalsukan resit penerimaan bayaran kupon meletak kenderaan yang mengakibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM27,852 antara 10 Feb hingga 2 Ogos 2011.
Bagaimanapun, dia hanya disabitkan kesalahan atas tujuh tuduhan sahaja yang dilakukan antara 10 Feb dan 7 Mac 2011.
Menurut kertas tuduhan, dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat MDKpr.
Indra Nehru membebaskan Ruddy atas 27 lagi tuduhan lain mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.
Ruddy didenda sebanyak RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda setiap satu bagi enam tuduhan, dan didenda RM3,000 atau dua bulan penjara bagi satu lagi tuduhan.
Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya sabit kesalahan.
Ruddy membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.