
Pengerusi Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) M Visvanathan berkata, jangkitan dan perkembangan kluster masih dilaporkan di penjara.
Katanya kepada FMT, SOP untuk mengendalikan tahanan yang diumumkan oleh kerajaan Oktober lalu mungkin tidak memadai.
Beliau mempersoalkan sama ada gari dan kenderaan yang mengangkut tahanan disanitasi dengan kerap.
Katanya, dia memerhatikan di mahkamah penjarakan fizikal tidak dipatuhi di dalam kenderaan pengangkutan tahanan dan kebanyakan mereka tidak dibekalkan pelitup muka.
“Beberapa peguam bahkan membeli pelitup muka dan mengedarkannya kepada tahanan dan pegawai polis,” katanya.
“Segala calitan dan kuarantin di dunia tidak akan menyelesaikan apa-apa sekiranya perkara asas seperti ini tidak dipandang serius.”
Beliau turut mempersoalkan sama ada kandang tahanan di mahkamah disanitasi secara berkala kerana ia akan menempatkan beberapa tahanan dalam sehari.
Menurut Visvanathan, ketika wabak Covid-19 mula tercetus, EDICT memperingatkan kerajaan untuk menjaga kebajikan banduan dan tahanan.
“Sekiranya mereka dijangkiti dan kemudian pergi ke mahkamah, pegawai yang mengendalikan mereka boleh dijangkiti. Mereka kemudian membawa pulang virus itu dan menjangkiti keluarga mereka yang kemudiannya akan menjangkiti orang lain,” katanya.
Katanya, penting bagi Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa lain untuk menambah baik SOP bagi mengelakkan sekatan di penjara berulang kali.
SOP yang diumumkan Oktober lalu merangkumi calitan dan kuarantin untuk tahanan selama 14 hari sebelum mereka dipindahkan ke blok penjara. Penjarakan fizikal juga seharusnya diamalkan di dalam kenderaan yang membawa tahanan ke mahkamah.
Namun, syarat itu nampaknya tidak mencukupi untuk mengekang penularan Covid-19, dengan beberapa penjara dikenakan sekatan tahun ini, termasuk di Pahang, Johor, Perak, Melaka dan Terengganu.
Terbaru, sekatan dikenakan di penjara Tapah dan kuarters kakitangannya.
Visvanathan berkata, kemudahan perubatan di penjara dan pusat tahanan tidak mencukupi, begitu juga dengan jumlah kakitangan terlatih.
Dakwanya, kemudahan itu hanya bersifat “asas” dan menggesa kerajaan “mempertimbangkan secara serius” untuk menambah baiknya.
“Saya percaya bahkan Jabatan Penjara akan menyokong kami dalam hal ini,” katanya.
Satu lagi langkah jangka pendek untuk mengekang penularan Covid-19, menurut Visvanathan, melengkapkan penjara dengan kemudahan telesidang, sambil menambah, perbicaraan mahkamah yang tidak memerlukan tahanan hadir, seperti pengurusan kes, dapat dilakukan melalui kemudahan itu.