
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB dan Primeworks Studios Khairul Anwar Salleh berkata, tiga program sedia ada iaitu Trio On Point, Topik dan Breakfast@9 juga tidak akan ketinggalan untuk menyediakan kandungan relevan dengan dunia pendidikan pelajar.
“Rombakan jadual penyiaran di ntv7 memberi laluan kepada saluran DidikTV KPM yang akan bersiaran setiap hari. Kandungan disiarkan ini diluluskan KPM selaras sistem pendidikan kebangsaan mengikut sukatan kurikulum dan kokurikulum kebangsaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, ntv7 juga akan menambah slot waktu program popular “Road To Success SPM 2020” bagi membantu gerak gempur pelajar tingkatan lima sebelum menduduki peperiksaan bermula 22 Feb depan.
“Ntv7 komited menyajikan program bersasar kepada golongan muda supaya menjadi sumber inspirasi dan hub maklumat kepada generasi muda. Selain aktiviti kurikulum, pelbagai kegiatan kokurikulum seperti sukan, kesenian dan pelbagai pertandingan turut diberikan liputan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau memahami keresahan rakyat khususnya pelajar ketika ini yang dilihat sukar mendapatkan pendidikan formal di sekolah, susulan penularan Covid-19 yang menyebabkan Putrajaya mengambil keputusan menutup sesi persekolahan.
Muhyiddin berkata, antara usaha memberikan pendidikan kepada hampir lima juta pelajar sekolah di seluruh negara, kerajaan bersetuju mewujudkan satu saluran khusus siaran TV Pendidikan, yang dipercayai dapat membantu pelaksanaan modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).