Kilang Silverstone di Taiping henti operasi, lebih 1,000 pekerja hadapi masa depan malap

Kilang Silverstone di Taiping henti operasi, lebih 1,000 pekerja hadapi masa depan malap

Jabatan Sumber Manusia dan wakil pengurusan kilang berkenaan mengedarkan notis pemberhentian operasi kilang itu kepada pekerja semalam.

Menurut notis pengurusan Silvestone, keupayaan kilang Silverstone yang berusia 30 tahun telah menurun dari semua aspek termasuk mesin, kecekapan pengeluaran dan penyelenggaraan bangunan. (Gambar Facebook)
TAIPING:
Kira-kira 1,000 pekerja kilang tayar Silverstone mengehadapi masa depan tidak menentu apabila kilang di Kamunting itu akan menghentikan operasinya akhir Jun ini.

Selain pemakluman secara rasmi oleh Toyo Tires yang juga pemilik syarikat itu, Jabatan Sumber Manusia dan wakil pengurusan kilang berkenaan turut mengedarkan notis pemberhentian operasi kilang itu kepada pekerja semalam.

Seorang pekerja yang dihubungi, memberitahu FMT bahawa adalah difahamkan notis pemberhentian kerja membabitkan semua petugas di Silverstone.

Katanya, dia sebelum ini hanya menganggap perkara itu khabar angin kerana sudah lama diperkatakan tetapi terkejut apabila dimaklumkan pengurusan kilang semalam yang turut mengedarkan notis kepada semua pekerja.

“Rasa buntu juga sebab waktu sekarang susah nak dapat kerja ditambah dengan PKP, tapi nak buat macam mana rezeki saya setakat ini sahaja.

“Harap akan ada pampasan yang setimpal kepada pekerja,” katanya yang enggan identitinya didedahkan.

Menurut notis pengurusan Silvestone, Jabatan Sumber Manusia akan mengadakan sesi pertemuan dengan pekerja bagi memberi penjelasan lebih terperinci dan menjawab sebarang pertanyaan mereka.

“Pengeluaran tayar jenama Silverstone selepas ini akan dibuat di kilang Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd,” kata notis itu yang turut dikongsi beberapa pengguna laman facebook semalam.

Notis itu memetik Toyo Tire Corporation sebagai berkata keupayaan kilang Silverstone yang berusia 30 tahun telah menurun dari semua aspek termasuk mesin, kecekapan pengeluaran dan penyelenggaraan bangunan.

“Keadaan ini ditambah lagi dengan kesan pandemik Covid-19, telah memberi kesan negatif terhadap daya maju dan kesinambungan perniagaan.

“Persaingan pasaran juga meningkat berikutan kemasukan tayar dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan China yang bersaing dalam segmen pasaran yang sama, ” jelas notis berkenaan.

Jelas notis itu lagi, pengurusan syarikat akan memastikan segala terma dan syarat dalam Perjanjian Bersama (CA) dan undang-undang berkaitan dipatuhi dalam pemberhentian kakitangan kilang.

Pada 2010, Toyo Tire dilaporkan membeli syarikat Silverstone pada harga RM462 juta dan ia sebahagian daripada perancangan besarnya untuk mengembangkan operasinya dengan memasuki pasaran yang dimiliki oleh Silverstone.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.