Anda 18 tahun? Jadi calon boleh, mengudi belum tentu

Anda 18 tahun? Jadi calon boleh, mengudi belum tentu

Di negara ini, anda boleh bertanding untuk kerusi DUN di enam daripada 13 negeri, tetapi masih tidak boleh mengundi.

Pendaftaran automatik mereka yang berusia 18 tahun sebagai pengundi akan memakan masa, kata kerajaan.
PETALING JAYA:
Di Malaysia, mereka yang berusia 18 tahun layak untuk dicalonkan sebagai ahli parlimen, tetapi tidak boleh mengundi diri sendiri mahupun orang lain.

Anda boleh bertanding untuk kerusi DUN di enam daripada 13 negeri, tetapi masih tidak boleh mengundi.

Keadaan ini timbul kerana, walaupun undang-undang membenarkan mereka yang berusia 18 tahun untuk dicalonkan dan mengundi telah diluluskan dan diwartakan, sebahagian besar daripadanya masih belum dilaksanakan.

Menurut bekas ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun, yang kini speaker Dewan Rakyat, perkara paling penting yang masih belum dilaksanakan adalah hak untuk mengundi.

Tinjauan oleh FMT berhubung perlembagaan negeri di seluruh negara juga menunjukkan bahawa had umur pencalonan hanya diturunkan di enam negeri.

Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak telah meminda perlembagaan negeri untuk membolehkan mereka yang sekurang-kurangnya berusia 18 tahun bertanding sebagai calon, sementara enam negeri lain masih belum melakukannya.

Azhar berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk membolehkan mereka yang berumur lebih 18 tahun menjadi calon, mengundi dan juga didaftarkan secara automatik sebagai pengundi, itu hanya boleh berlaku sekiranya undang-undang itu dikuatkuasakan.

“Hanya pindaan membabitkan usia yang layak untuk menjadi ahli parlimen, yang diturunkan dari 21 kepada 18, berkuat kuasa serta-merta. Dua pindaan yang lain iaitu menurunkan usia pengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik, akan dikuatkuasakan secara serentak pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian, ” katanya.

Tahun lalu, menteri undang-undang de facto Takiyuddin Hassan memberitahu Parlimen bahawa pendaftaran mereka yang berumur 18 tahun sebagai pemilih dan pendaftaran automatik akan bermula pada Julai tahun ini.

Dalam jawapan bertulis, beliau mengatakan bahawa proses itu akan memakan masa dua tahun bermula 25 Jul 2019, iaitu tarikh Dewan Negara meluluskan pindaan perlembagaan untuk membenarkan usia pengundi diturunkan.

Pindaan itu mendapat sokongan dua pihak di kedua-dua dewan Parlimen.

Kerajaan berkata ia menambahkan 7.8 juta pengundi lagi pada pilihan raya akan datang, menjadikan jumlah pengundi yang layak kepada 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada pilihan raya umum ke-14.

Takiyuddin berkata beberapa undang-undang kecil lain yang berkaitan dengan SPR juga sedang dipinda, terutama Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan prosedur lain yang terkait yang sedang dilaksanakan.

Sementara itu, seorang pegawai SPR yang tidak mahu dikenali berkata walaupun penurunan usia pengundi kepada 18 tahun adalah pasti, masalah yang tetap timbul adalah pada komponen pendaftaran automatik, yang sedang cuba diselesaikan.

Kata pegawai itu, untuk membenarkan pendaftaran automatik, SPR perlu menyemak alamat yang disediakan dalam pangkalan data MyKad Jabatan Pendaftaran Negara.

“Sekiranya alamat itu adalah alamat umum, seperti tiada blok atau alamat jalan yang tepat, kami tidak akan dapat menentukan lokasi pengundi.

“Isu lain adalah memastikan semua nama pengundi dimasukkan ke dalam daftar pemilih. Sekiranya nama seseorang hilang, mereka boleh mendapatkan perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan pilihan raya.

“Jadi, untuk mengelakkan situasi yang tidak diingini, kami harus memastikan bahawa masalah-masalah ini diselesaikan sebelum ia boleh dikuatkuasakan.”

Tambah pegawai itu, satu lagi masalah yang perlu diambil perhatian ialah negeri-negeri. Memandangkan hanya segelintir sahaja yang merombak perlembagaan bagi membolehkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas menjadi ahli dewan undangan negeri, ini akan menyukarkan lagi usaha untuk membenarkan golongan muda berpolitik.

“Walaupun pendaftaran pemilih berada di bawah kuasa persekutuan, penurunan usia untuk menjadi calon DUN bergantung pada perlembagaan negeri,” kata pegawai itu.

Anehnya, pusat bandar dan bandar yang lebih liberal seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor yang masih belum merombak perlembagaan untuk membolehkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas menjadi calon.

Jelasnya lagi, walaupun semua masalah diselesaikan, terutama pendaftaran automatik, keputusan tetap terletak ditangan menteri undang-undang. Ini kerana hanya kerajaan berkuasa untuk menguatkuasakan penurunan usia pengundi.

“SPR tiada kuasa untuk mewartakannya, ia hak kerajaan yang harus melakukannya melalui Warta Persekutuan.”

Usia layak mengundi dan pencalonan di banyak negara lain di dunia telah diturunkan kepada 18 tahun. Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur berkata had umur di negara mereka diturunkan pada tahun 1972.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.