Vaksin Covid-19 selamat, tiada mikrocip kawal minda, lapor Bernama

Vaksin Covid-19 selamat, tiada mikrocip kawal minda, lapor Bernama

Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan (perubatan) Dr Rohaizat Yon berkata kaedah Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin terbukti selamat dan berkesan.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA :
Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan (perubatan) Dr Rohaizat Yon berkata vaksin Covid-19 adalah selamat dan tidak mengandungi mikrocip yang akan mengawal minda manusia.

Menjawab persoalan berhubung teori konspirasi yang mendakwa vaksin berkenaan mengandungi mikrocip, beliau memberitahu Bernama bahawa kaedah Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin terbukti selamat dan berkesan.

“mRNA adalah sangat kecil, kita tidak boleh memasukkan mikrocip di dalamnya dan juga ia tidak berinteraksi dengan genom manusia,” katanya.

Beliau menggesa agar masyarakat mempercayai mesej rasmi atau maklumat daripada laman rasmi kerajaan serta kajian literatur yang boleh dipercayai berkaitan vaksin.

Orang ramai boleh merujuk kepada Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mengandungi maklumat, antaranya mengenai jenis vaksin Covid-19 digunakan oleh kerajaan, kemudahan penyimpanan vaksin serta pandangan sudut keagamaan mengenai panduan vaksin dan imunisasi.

Buku panduan itu dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Rohaizat juga menegaskan vaksin Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan sampingan berbahaya jangka panjang terhadap kesihatan.

“Setakat ini, kajian daripada negara-negara lain menunjukkan vaksin ini selamat. Sepanjang yang kita ketahui, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura mendahului kita (pelaksanaan program imunisasi), oleh itu Malaysia boleh mempelajari dan mengkaji semula prestasi, kekurangan dan pencapaian mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.