PETALING JAYA: Ahli politik veteran Daim Zainuddin berkata adalah salah bagi bekas peguam Negara Tommy Thomas meletakkan tanggungjawab runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan keatas hanya seorang.Daim mengakui Thomas berhak menulis apa yang beliau mahu berdasarkan pandangannya, namun beliau tidak setuju Dr Mahathir Mohamad seorang yang dipersalahkan.
“Dalam kerajaan, ada konsep tanggungjawab bersama. Oleh itu saya fikir adalah tidak adil untuk menyalahkan Mahathir bulat bulat,” kata Daim dalam wawancara menerusi emel dengan FMT.
Beliau diminta mengulas beberapa pendedahan dalam buku Thomas, “My Story:Justice in the Wilderness” yang diterbitkan dua minggu lalu.
Menurut Daim, rakyat sedar bahawa apabila Mahathir menjadi perdana menteri pada Mei 2019, beliau tidak mempunyai kuasa seperti yang dinikmatinya ketika pertama kali menjadi perdana menteri.
“Beliau tidak ada sokongan besar seperti yang diberi oleh Umno semasa jadi PM pertama dulu. Oleh itu Mahathir terpaksa mentadbir menurut konsenses.
“Malah beliau kerap dikekang oleh parti komponen dalam gabungan pimpinannya kerana mereka mengutamakan politik kepartian berbanding agenda nasional,” kata Daim.
Kata beliau, mentadbir menurut konsensus bermakna anggota lain dalam Jemaah Menteri dan juga Ahli Parlimen Pakatan Harapan masing-masing harus memikul tanggungjawab atas kegagalan gabungan itu menangani isu yang timbul.
“Sebagai contoh, isu perkauman tentunya tidak boleh diatasi oleh seorang sahaja. Semua mesti bekerjasama untuk menyelesaikan isu serius itu.
“Adalah terlalu mudah dan amat tidak adil untuk letak masalah perkauman atas bahu seorang. Kita semua ada peranan masing-masing jika kita sayangkan negara ini,” kata Daim.
Mengulas penerbitan memoir Thomas itu, Daim mengenali bekas peguam negara itu dan menganggapnya sebagai seorang kawan.
Daim percaya seseorang berhak menulis apa yang mahu ditulis.
“Bagaimanapun Tommy mesti diberi ruang untuk mempertahankan dirinya terhadap kritikan mengenai buku itu.
“Beliau ialah seorang peguam yang masih aktif dan juga bekas peguam negara. Beliau tentunya arif mengenai undang-undang, jauh lebih baik daripada orang lain.”
“Beliau menulis berdasarkan apa yang beliau perhatikan dan membuat kesimpulan berasaskan itu. Dalam beberapa perkara yang tidak menyenangkan orang, mungkin beliau tidak mendapat maklumat penuh, cerita yang lengkap, sehingga membuat kesimpulan yang agak tergesa-gesa.
“Kamu boleh setuju atau tidak dengan buku ini tetapi mereka yang memegang jawatan tinggi terutama menteri dan ketua jabatan memikul tanggungjawab berat, berurusan dengan hal rahsia dan sensitif dan terikat dengan pelbagai undang-undang dan ini sememangya diikuti (secara tradisi),” kata Daim.