Buang anggota badan remaja untuk selamatkan nyawanya, kata kerajaan dalam pembelaan

Buang anggota badan remaja untuk selamatkan nyawanya, kata kerajaan dalam pembelaan

Bapa, J Krishnasamy menamakan kementerian kesihatan, Hospital Ampang, tiga doktor dan kerajaan sebagai defendan.

Keadaan Vimal Raj selepas anggota badannya dipotong.
KUALA LUMPUR:
Doktor terpaksa memotong tangan dan kaki seorang remaja kerana terjejas akibat gangren periferal, kata kerajaan dalam pembelaannya.

Defendan turut berkata, gangren itu komplikasi akibat ubat “inotropic support” yang diberikan kepada K Vimal Raj untuk menyelamatkan nyawa remaja berusia 17 tahun itu.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada Disember lalu, J Krishnasamy berkata anak lelakinya Vimal Raj terpaksa dipotong lengan di bawah bahagian siku, serta kakinya di bawah paras lutut kanan selain tumit dan jari kaki kiri pada 2019.

Beliau yang menuntut ganti rugi khas, teruk, teladan dan am mendakwa kesengsaraan anaknya diakibatkan kecuaian doktor dan pelbagai pelanggaran.

Krishnasamy berkata, Vimal dilahirkan normal tanpa sebarang penyakit kritikal atau masalah genetik, dan hanya mengalami tindak balas alergi di kemaluannya sebelum dimasukkan ke hospital.

Beliau hanya didiagnos menghidap “balanitis”, iaitu keadaan yang boleh dirawat dan biasa berlaku bagi lelaki yang tidak dikhatan.

Ayahnya berkata, pembedahan dilakukan antara 15 Mac dan 26 Nov 2019, dan mengakibatkan Vimal menjadi kurang upaya.

Krishnasamy yang diwakili peguam Harwinder Kaur menamakan kementerian kesihatan, Hospital Ampang, tiga doktor dan kerajaan sebagai defendan.

Kerajaan dalam pembelaannya bertarikh 2 Feb, yang dilihat FMT, berkata ketika di unit rawatan rapi, Vimal diberikan ubat sokongan jantung serta antibiotik selain diberi sedatif untuk menghalang jangkitan bakteria.

Katanya, penyahwarnaan jari kaki dan tangan Vimal Raj adalah komplikasi dan kesan sampingan ubat bagi menyokong jantung dikenali sebagai inotrope.

Tambahan, katanya, terdapat penambahan komplikasi kerana Vimal mengalami renjat septik dan “koagulopati intravaskular selerak” (DIVC).

Kerajaan berkata tiada keperluan untuk mendapat keizinan Krishnasamy atau keluarga remaja itu sebelum memberikan inotrope kerana menjadi tugas doktor untuk merawat pesakit.

Pengurusan kes ditetapkan pada 5 Mac ini di depan hakim Ahmad Bache.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.