Gajah mati ketika lahir anak secara songsang

Gajah mati ketika lahir anak secara songsang

Cubaan untuk menyelamatkan anak gajah yang dikenal pasti jantina jantan itu juga gagal kerana ia didapati mati dalam kandungan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor Salman Saaban berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.30 tengah hari daripada kakitangan ladang selepas mendapati terdapat seekor gajah sedang cuba melahirkan anak. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Seekor gajah betina mati ketika melahirkan anak secara songsang di Ladang Mados, Lenggor, dekat Mersing, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor Salman Saaban berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.30 tengah hari daripada kakitangan ladang berkenaan selepas mendapati terdapat seekor gajah sedang cuba melahirkan anak.

Katanya, seramai tiga kakitangan PERHILITAN Daerah Mersing dikejarkan ke lokasi kejadian bersama enam kakitangan ladang itu bagi memantau keadaan.

Beliau berkata, bagaimanapun kira-kira 5 petang, gajah itu didapati tidak lagi bergerak.

“Ketika diperiksa, didapati hanya kaki anak gajah itu saja yang terkeluar. Siasatan lanjut mengesahkan anak gajah itu berkeadaan songsang dan gajah betina itu mati disebabkan ‘dystocia’,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, cubaan untuk menyelamatkan anak gajah yang dikenal pasti jantina jantan itu juga gagal kerana ia didapati mati dalam kandungan.

“Perut gajah itu dibelah dalam cubaan menyelamatkan anaknya tetapi tidak berjaya,” katanya sambil menambah, bangkai gajah itu kemudian ditanam dengan bantuan pihak ladang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.