
Beliau berkata, semua pemain dan pegawai terlibat dalam saingan Liga-M yang bakal membuka tirai pada 5 Mac ini, perlu mematuhi protokol gelembung sukan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk “camp-based quarantine” dan “home-based quarantine” yang ditetapkan.
“Maknanya kalau mereka mahu masuk melalui gelembung ini, mereka perlu berada dalam protokol ini, kalau mereka langgar protokol gelembung itu, maka mereka akan diasingkan, seperti dilakukan di EPL (Liga Perdana Inggeris), Bundesliga Jerman dan La Liga. Jika diisolasi, maka mereka perlu melalui semua prosedur seperti ujian calitan dan kuarantin selama tiga hari sebelum memasuki gelembung itu kembali.
“Pada waktu ini perbincangan juga dirujuk kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), mereka juga telah diberi pandangan supaya model yang kita buat, bukan hanya model selamat tapi praktikal,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara.
Beliau menjelaskan bahawa kementerian, Majlis Sukan Negara (MSN), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan kelab masih terus mengadakan perbincangan dalam mencari kaedah paling praktikal.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lepas, mengumumkan kerajaan memberi kebenaran kepada pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) untuk memulakan latihan menerusi konsep gelembung sukan dan SOP ketat bermula Isnin ini.