Berjudi, langgar PKP, 6 warga emas antara ditahan

Berjudi, langgar PKP, 6 warga emas antara ditahan

Dalam serbuan 4.45 petang itu, semua mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 82 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Shafee Abd Samad berkata, anggotanya turut merampas wang di atas meja judi sebanyak RM4,700 dan wang tunai daripada mereka yang berjumlah RM180,000.
BUKIT MERTAJAM:
Polis menahan 18 individu termasuk enam warga emas yang sedang leka bermain judi di sebuah kilang barangan lusuh dan merampas wang tunai RM184,700 dalam serbuan di Jalan Pengkalan Bukit Tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Shafee Abd Samad berkata, dalam serbuan 4.45 petang itu, semua mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 82 tahun termasuk pemilik kilang tersebut.

“Kami menahan 14 lelaki tempatan, seorang lelaki warga Taiwan, seorang remaja lelaki warga Hong Kong (berusia 17 tahun) dan dua wanita warga China.

“Polis turut merampas wang di atas meja judi sebanyak RM4,700 dan wang tunai daripada mereka yang berjumlah RM180,000,” katanya dalam kenyataan.

Polis turut merampas dua set daun terup dan enam buah dadu, sebuah meja dan 11 buah kerusi plastik yang digunakan untuk berjudi dan semua mereka kini disiasat menurut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi.

“Selain itu, mereka turut dikompaun RM1,000 setiap seorang dan disiasat bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.