
Amalan itu tetap diteruskan bagi perayaan kali ini, tetapi mengikut norma baharu kerana SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 tidak membolehkan tarian singa diadakan secara bersemuka.
Siow Ho Phiew, yang terbabit secara aktif dalam seni tarian singa berkata, budaya itu perlu diteruskan walau apa cara sekalipun, namun perlulah dilakukakn sesuai dengan keadaan.
Beliau, yang kini berusia 66 tahun, turut menjadikan minatnya itu sebagai sumber pendapatan dengan menghasilkan kostum tarian singa .
“Tarian singa adalah elemen penting dalam sambutan Tahun Baru Cina. Tahun ini kita tidak dapat adakan persembahan di luar secara bersemuka, tetapi ramai hendak teruskan budaya ini.
“Pastinya saya perlu lakukan, iaitu mengadakannya secara maya.
“Saya akan teruskan tarian singa. Ia akan dirakam dalam bentuk video dan berikan kepada pelanggan yang berminat.
“Bukan saya seorang sahaja, tarian singa secara berpasukan juga boleh dilakukan, semuanya cukup secara digital,” katanya.

Persembahan tarian naga atau singa merupakan tradisi terpenting dalam sambutan Tahun Baru Cina kerana ia dipercayai dapat memberi tuah serta mengusir roh jahat.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan bahawa persembahan dan kebudayaan yang lazim bagi perayaan Tahun Baharu Cina seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, opera Cina dan pertunjukan pentas, tidak dibenarkan.
Menjelaskan lebih lanjut, Siow yang terbabit dalam seni tarian singa dan pembuatan kostum sejak 1986 berkata, pendapatannya berkurangan antara 70% hingga 80% susulan penularan wabak Covid-19.
Malah katanya, permintaan kostum pada ketika ini hanyalah untuk perayaan tahun hadapan sahaja.
“Perniagaan saya terjejas sehingga 80% sebab Covid-19. Tarian singa tidak boleh diadakan, jadi sudah tentu akan beri kesan pada perniagaan.
“Jika tahun lalu, seminggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina, saya akan terima undangan sehingga 5 kali seminggu untuk persembahan tarian singa.
“Tetapi tahun ini lain ceritanya. Keadaan ini bukanlah kali pertama. Pada tahun 1969 hingga 1974, untuk tempoh 5 tahun, kami tidak dibenarkan mengadakan tarian singa.
“Jadi saya fikir, untuk tahun ini, tidak mengapalah kerana ia tidak dibenarkan atas sebab kesihatan,” katanya.

Bagi tahun 2021, yang merupakan tahun lembu mengikut kalendar lunar Cina, Siow berharap rakyat di seluruh negara terus bersemangat, bekerja kuat dan tidak lagi takut kepada wabak Covid-19 dengan cara terus menjaga kesihatan diri dengan lebih baik dan ketat lagi.
“Tahun lembu merupakan tahun yang sangat hebat. Jika kita ambil contoh lembu bekerja di sawah padi, ia merupakan binatang yang sangat kuat bekerja.
“Jadi, kita sendiri perlu bekerja lebih kuat, terus bersemangat. Jika kita terus kuat, saya yakin Covid-19 akan cepat hilang,” katanya.
Bagi Persatuan Elite Dragon and Lion Dance, yang beroperasi di Sarawak, situasi pada tahun ini sudah tentu tidak sama seperti sambutan tahun lepas. Ketika itu, mereka tidak menang tangan untuk menerima tempahan bagi persembahan tarian singa.
Ketua jurulatih persatuan itu, Kelvin Ng, 40, berkata, persiapan sambutan perayaan itu kali ini itu terasa amat suram.
“Selama 29 tahun dalam bidang tarian naga dan singa ini, saya tidak pernah alami situasi sunyi seperti ini.
“Kebiasaannya, pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina saya bangun seawal jam 4 pagi untuk bersiap bersama ahli persatuan sebelum memulakan kunjungan ke rumah terbuka bagi mempersembahkan tarian singa,” katanya.
Beliau berkata, apabila tarian singa dikategorikan sebagai aktiviti yang dilarang dalam SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), maka ia hampir pasti menjejaskan pendapatan ahli persatuan seramai lebih 200 orang sejak ia ditubuhkan pada 1992.
“Pendapatan kami terjejas akibat larangan tersebut. Justeru, kami terpaksa mengumpul duit untuk membayar sewa tempat kami berlatih,” katanya.