
Kawasan itu sememangnya tidak pernah sunyi dan sentiasa dibanjiri pengunjung terutama pada cuti hujung minggu atau cuti umum. Suasana bagai pesta.
Dan setiap kali menjelang Tahun Baru Cina , “China Town” Petaling Street tentunya menjadi tumpuan ramai khususnya masyarakat Cina yang berkunjung mencari barangan persiapan menyambut tahun baharu lunar.
Selain sebagai tapak warisan bersejarah di negara ini, kawasan itu juga menjadi tempat persinggahan wajib pelancong asing bila musim sambutan Tahun Baharu Cina setiap tahun terutama dari China dan Taiwan untuk merasai kemeriahan keramaian.
Namun tahun ini kemeriahan sekitar Petaling Street hambar. Banyak aktiviti tidak dapat dijalankan. Banyak perniagaan ditutup . Semuanya kerana wabak Covid-19 yang memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Peniaga di sekitar Jalan Petaling juga seakan pasrah dengan nasib yang menimpa mereka apabila sambutan Tahun Baru Cina kali ini sunyi daripada kunjungan para pelanggan.
Tinjuan FMT mendapati kawasan itu lengang tampa kehadiran ramai pengunjung dan kedai-kedai banyak tutup .
Di premis yang beroperasi pematuhan SOP memang tinggi .
Seorang peniaga yang menjual kelengkapan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, Lai Wei, 57 berkata pendapatanya merudum lebih 75% sejak permulaan PKP tahun lalu.
Ketika ditemui, Lai memberitahu bahawa hanya beberapa pelanggan akan datang ke kedainya dari pagi hingga tengah hari, kemudian akan sunyi sepi pada sebelah petang.
“Kebanyakannya hanya membeli tanglung, tapi dalam kuantiti yang tidak banyak,” katanya sambil memaklumkan pemintaan kepada tanglung tidak begitu terkesan kerana mengikut “adat” masyarakat Cina harus menukar tanglung setiap tahun.
Bagi peniaga pakaian yang mahu dikenali Fong , kekurangan pengujung disebabkan dua faktor – pertama katanya ramai tidak boleh melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri, jadi pelanggan yang hadir hanya mayarakat sekeliling.
“Kedua orang takut nak datang Jalan Petaling ini sebab kawasan ini zon merah Covid-19, malah sebelum ini dikatakan ada kes kematian berlaku akibat Covid-19 disini, jadi lagi orang takut mahu datang, apa boleh buat kami pasrah, lagipun macam saya sendiri tidak buat persiapan apa-apa tahun ini, sebab nak jalan-jalan tidak boleh, duduk rumah saja, jadi saya rasa orang lain juga sama,”katanya sambil ketawa kecil.

Eveline, 40 pekerja di sebuah kedai daging salai berkata perniagaan tahun ini merosot teruk cecah 80% dan operasi kedai juga terpaksa tutup awal.
“Kalau sebelum Covid-19 ramai pelanggan, kami nak duduk berehat 5 minit susah sebab pelanggan ramai datang, dalam kedai ini nak berjalan susah, tapi tahun ini awak boleh tengok, kosong.
“Katanya kebanyakan pelanggan kami dari luar Kuala Lumpur, termasuk warga Indonesia dan pelancong asing lain juga ramai bila tiba tahun baru. Malah perniagaan kami selalunya sehari dapat puluh-puluh ribu kalau musim Tahun Baru Cina, kali ini merosot teruk,”katanya.
Katanya, jika sebelum Covid-19 kedainya akan beroperasi sehingga lewat malam dimana pelanggan juga akan datang makan beramai-ramai bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Sepanjang jalan depan kedai kami akan penuh meja makan, orang datang makan, selalunya bermula 30 Jan sehingga hari ketiga tahun baru kami tidak menang tangan, pelanggan tidak putus, tahun ini tiada, sebab makan di kedai tidak boleh, adapun dua orang sahaja satu meja,”katanya.
Ditanya nasib pekerja sepanjang PKP, dia tanpa berselindung berkata majikanya tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa memotong 40% gaji . Bagaimanapun pekerja tidak dipecat .
“Majikan kami baik dia faham dan kami faham, dia tidak pecat cuma potong 40% gaji tahun lalu bila PKP dibuat, tapi tahun ini gaji bulan Jan dan Feb dibayar penuh sebab nak beraya,”kata wanita yang berasal dari Sarawak itu sambil memaklumkan premisnya juga turut menjual nasi campur sepanjang PKP bagi memastikan adanya aliran pendapatan masuk.
Ditanya nasib pekerja asing, Eveline berkata kebanyakan mereka mengambil keputusan berhenti secara sukarela .

Bagi Mee Yee pengusaha biskut tradisional , menyedari kekurangan pelanggan, beliau mengambil ketetapan untuk mengurangkan jumlah keluaran produknya bagi mengelak menanggung kerugian tinggi.
“Saya hanya jual yang asas sahaja, tidak buat banyak sebab pelanggan kurang,”katanya.
Keluhan sama disuarakan Chan Wai Leong, apabila perniagaan bunganya merosot 90%.
“Selalunya permintaan bunga kekwa ramai orang beli, tapi tahun ini banyak kurang,”katanya yang sudah lebih 20 tahun berniaga disana.

Sementara itu, bagi, Fong dia mengambil insiataf memfokuskan peniagaan secara atas talian dan membuat penghantaran rumah ke rumah.
“Tahun ini tahun gelap bagi kami, bila PKP orang nak datang susah, jadi kami buat penghantaran rumah kerumah kurang dari 15KM kita tidak kenakan caj,”katanya.
Sementara itu beberapa pengunjung ketika ditemui memaklumkan mereka hanya membuat persiapan secara sederhana -“tahun lembu” kali ini dengan membeli barang asas seperti tanglung, bunga dan sedikit kuih memandangkan tiada kunjung mengunjung dibenarkan sambil akur dengan perintah kerajaan.