
Susulan pengumuman bahawa gim dan kemudahan sukan lain akan dibenarkan dibuka mulai hari ini, golongan itu berkata walaupun bersyukur berpeluang kembali seperti sedia kala, mereka mengharapkan beberapa perkara turut dipertimbangkan semula termasuk membenarkan penggunaan kamar mandi dan bilik salin pakaian.
Dalam satu kenyataan, Coalition of Fitness Industry Owners & Operators in Malaysia berkata, hasil survei dilaksanakan terhadap 235 perniagaan bulan lalu menunjukkan kesan negatif akibat penutupan berulang kali terhadap industri berkenaan.
Hampir separuh responden melaporkan hilang lebih 40% ahlinya manakala sepertiga lagi menganggarkan kehilangan antara 21-40% pelanggan.
Sebanyak 82% turut berkata, keuntungan perniagaan mereka jatuh lebih 30%, dengan sebahagian besar daripadanya melaporkan kerugian lebih 70%.
Lebih sepertiga mengaku sudah mula membuang pekerja dan 80% daripada mereka yang disurvei berkata simpanan tunai akan habis menjelang Mei.
Walaupun menyuarakan kelegaan kerana dibenarkan beroperasi semula, kumpulan itu turut mengharapkan beberapa kelonggaran syarat ditetapkan.
Berhubung penutupan bilik persalinan dan kamar mandi, pengasas Level Up Fitness, Kenny Sia berkata “tatkala kebersihan diri patut menjadi keutamaan, kami menganggap melarang orang ramai daripada menggunakan bilik persalinan serta kemudahan mandi sebagai tidak sesuai.”
Sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaru, timbul laporan beberapa kes dikaitkan dengan bilik salin pakaian, terutama di kelab golf.
Bagi memastikan penjarakan sosial, kelas berkumpulan masih tidak boleh dilakukan namun pengasas CrossFitLah, James Putnam berkata ini akan ‘membunuh’ mereka yang bergantung kepada format seperti itu.
“Melarang kelas berkumpulan mengikis kawalan kami termasuk untuk memastikan pematuhan ketat terhadap SOP. Apabila melaksanakan kelas berkumpulan, kami boleh menguruskan sepenuhnya apa yang akan dilakukan peserta, selain bila dan bagaimana dilakukan,” katanya.
Kumpulan itu menambah, memandangkan jumlah kes dikaitkan dengan gim sebelum PKP amat rendah, peraturan tambahan itu sepatutnya tidak diperlukan.
“Kami dengan hormat merayu pandangan kami ini diambil kira, untuk membantu kami bertahan jangka panjang selain mengelak kehilangan kerja serta kesan sampingan lain akibatnya,” katanya.