
Kerajaan semalam berkata, warga asing, termasuk pendatang tanpa dokumen, akan diberi vaksin secara percuma di bawah Program Imunisasi Kebangsaan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencapai imuniti kelompok.
Tahun lepas, pihak berkuasa bagaimanapun menahan sejumlah pendatang tanpa dokumen setelah berjanji tidak akan mengambil tindakan sekiranya mereka tampil untuk diuji.
Santiago berkata, beliau tidak mahu melihat kumpulan itu “ditipu” sekali lagi.

“(Langkah) menyediakan vaksin untuk pekerja asing tanpa dokumen harus disambut baik, tetapi ia mesti disertakan dengan pengampunan daripada imigresen,” kata beliau kepada FMT.
“Untuk memastikan (program vaksinasi) berkesan, imigresen mesti mengeluarkan kenyataan yang meyakinkan dan meminta maaf atas kesilapan mereka sebelum ini.”
Terdapat kira-kira tiga juta pendatang asing tanpa dokumen di negara ini.
Pada Mac, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menggalakkan semua pendatang tanpa dokumen yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur untuk “tampil tanpa rasa takut” dan menjalani ujian Covid-19, dengan berjanji mereka tidak akan dihukum kerana berada di negara ini secara haram.
Namun rantaian serbuan besar-besaran ke atas golongan tersebut pada Mei menandakan dasar itu ditarik balik dan dipercayai mengakibatkan kemunculan kluster Covid-19 di Pusat Tahanan Imigresen dan lokap polis.
Pada 31 Mei, Ismail berkata, tawaran pengampunan kerajaan telah tamat.

Pengarah eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata, ramai individu yang tidak berdokumen, terutamanya pelarian, pencari suaka dan mereka yang menunggu maklum balas daripada Jabatan Imigresen mengenai status pengesahan mereka , tampil mempercayai Kementerian Kesihatan untuk melakukan ujian, pengesanan dan rawatan Mac lalu.
“Namun, apabila serbuan bermula pada Mei, mereka semua menghilangkan diri dan bersembunyi.
“Ini tidak boleh terjadi lagi. Sekiranya tindakan keras seperti itu berulang, keseluruhan populasi akan berdepan risiko besar dan langkah menjadikan (pendatang izin tanpa dokumen) sebagai ‘kambing hitam’ akan berterusan,” katanya.
Menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai vaksinasi untuk semua warga asing dengan menyifatkannya sebagai “langkah maju” dalam mempertahankan prinsip kesetaraan dan tiada diskriminasi, Das berharap pelan itu dilaksanakan secara telus dan efektif.