Bekas pramugara minta persetujuan mahkamah dakwa 2 individu hina agama bukan Islam

Bekas pramugara minta persetujuan mahkamah dakwa 2 individu hina agama bukan Islam

S Shashi Kumar memfailkan aduan untuk memulakan pendakwaan tertutup terhadap dua mualaf kerana menghina agama bukan Islam.

Bekas pramugara S Shashi Kumar berkata, Firdaus Wong Wai Hung dan Zamri Vinoth Kalimuthu menghina agama bukan Islam, terutama agama Hindu.
SHAH ALAM:
Seorang bekas pramugara memfailkan aduan kepada majistret untuk memulakan pendakwaan secara tertutup terhadap dua mualaf Muslim kerana didakwa menghina agama bukan Islam dan amalan agama mereka.

S Shashi Kumar akan hadir di hadapan Mohamad Redza Azhar Rezali untuk inkuiri pada 12 Mac jam 2.30 petang.

Beliau memulakan tindakan terhadap Firdaus Wong Wai Hung, yang merupakan presiden dan pengasas Multiracial Reverted Muslim (MRM), dan Zamri Vinoth Kalimuthu, kedua-duanya dikatakan mempunyai hubungan dengan pendakwah kontroversi, Zakir Naik.

Peguam, T Gunaseelan, yang mewakili Shashi, berkata, anak guamnya membuat aduan di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah.

“Redza akan menyerahkan satu notis kepada timbalan pendakwa raya memaklumkan bahawa aduan diterima,” katanya.

Firdaus dikatakan menghina agama bukan Islam, terutama agama Hindu, melalui catatan Facebook dan YouTube miliknya.

Dalam pernyataan berkanun (SD), Shashi berkata, beliau membuat laporan polis terhadap Firdaus pada Jan 2018 setelah melihat kandungannya di kedua platform media sosial itu.

“Isinya menimbulkan kebencian dan penghinaan terhadap orang bukan Islam di Malaysia, dan kemungkinan akan menggugat keamanan,” katanya, dengan menambah bahawa terdapat pihak lain yang membuat laporan serupa.

Shashi berkata, beliau menghantar memorandum itu kepada perdana menteri sebelum ini Dr Mahathir Mohamad dan menteri dalam negeri, komunikasi dan multimedia, dan perpaduan nasional, selain Jabatan Hal Ehwal Islam dan Jabatan Peguam Negara pada Okt 2018.

Dalam pernyataan berkanun berasingan, Shashi juga membuat laporan polis terhadap Zamri, seorang pendakwah bebas, pada Jun tahun lalu kerana didakwa menghina ritual dan amalan agama Hindu di akaun Facebooknya yang tular.

“Hantarannya mungkin menimbulkan kebencian dan mengganggu keharmonian agama di antara orang-orang yang berlainan agama,” katanya.

Shashi berkata, beliau bertanya kepada polis mengenai status laporannya terhadap kedua-duanya, tetapi tiada maklum balas.

Gunaseelan, yang dibantu oleh S Ravichandran berkata, sekiranya hakim menemui asas untuk laporan yang dibuat, tuduhan boleh dikenakan di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Sebelum ini, hakim mengizinkan individu melakukan pendakwaan atas kesalahan tertentu,” kata Gunaseelan.

Peguam itu berkata anak guamnya akan menyerahkan kepada pihak pendakwa untuk bertindak berdasarkan laporan polis sekiranya beliau bersedia menerimanya.

Jika tidak, Shashi akan meminta hakim untuk memberinya kuasa untuk mendakwa kedua-dua individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.