Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Zaleha Yusof, Zabariah Mohd Yusof dan Rhodzariah Bujang membenarkan rayuan Country Garden Danga Bay Sdn Bhd (CGDB) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak semakan kehakimannya bagi membatalkan pampasan yang diarahkan oleh TTPR.
Mahkamah memerintahkan responden, Ho Chee Kian membayar kos RM30,000.
Ketika dihubungi, peguam Leonard Yeoh yang hadir bersama peguam Cyrus Das mewakili CGDB mengesahkan keputusan mahkamah itu.
Leonard berkata Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa TTPR hanya boleh memutuskan tuntutan berdasarkan terma nyata perjanjian jual beli dan bukan berdasarkan jangkaan pembeli, selain unit yang dibeli itu sepadan dengan model yang dipaparkan di bilik pameran pemaju.
Ho menandatangani perjanjian jual beli dengan CGDB pada 23 Ogos 2013 untuk pembelian sebuah unit kondominium di projek itu.
Beliau mendakwa unit itu sepatutnya mempunyai balkoni berbumbung tetapi apabila pemilikan itu diserahkan, balkoni itu tidak berbumbung dan beliau membuat aduan kepada TTPR melalui surat bertarikh 4 Dis 2017.
Ho kemudiannya memfailkan tuntutan dengan TTPR menuntut RM50,000 sebagai ganti rugi bagi unit salah yang diberikan kepadanya.
Pada 7 Jun 2018, TTPR menganugerahkan pampasan RM50,000 kepada Ho, mendorong CGDB memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada Julai 2018.
Mahkamah Tinggi pada 27 Dis 2018 menolak semakan kehakiman CGDB bagi perintah certiorari untuk membatalkan keputusan TTPR Johor Bahru yang memihak kepada Ho bagi tuntutan ganti rugi kerana melanggar perjanjian jual beli.
CGDB gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang ditolak pada 11 Dis 2019.
Pemaju bagaimanapun, mendapat kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan tahun lalu dengan empat persoalan undang-undang untuk ditentukan mahkamah.
Peguam Viola Lettice DeCruz mewakili Ho.