
Bernama melaporkan, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata solat di masjid, surau serta musalla di seluruh negeri dibenarkan dengan kehadiran jemaah 30% mengikut kapasiti dan keluasan masjid selain penjarakan semeter antara jemaah.
Katanya, kuliah agama serta kelas al-Quran juga antara aktiviti yang dibenarkan mulai Jumaat dengan hanya 30% jemaah hadir mengikut kapasiti dan keluasan masjid, dengan penjarakan satu meter.
“Perkara ini turut mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara sama turut diumumkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun dengan syarat tidak melebihi 15 orang dalam satu waktu bagi solat fardu berjemaah, manakala bagi solat Jumaat pula hanya 45 orang.
“Aktiviti keagamaan di rumah-rumah ibadat yang lain dibenarkan dengan kapasiti satu pertiga keluasan tempat ibadat atau tidak melebihi 45 orang dalam satu-satu masa berkuat kuasa pada hari sama,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata kerajaan negeri turut bersetuju membenarkan aktiviti makan di restoran terhad kepada dua orang bagi satu meja berkuat kuasa hari ini selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.