
Akademi Perubatan Malaysia (AAM) menyuarakan kekhuatiran dengan Perintah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021, yang mengecualikan menteri yang pulang dari luar negara daripada menjalani kuarantin wajib selama 10 hari.
AMM mengingatkan kerajaan bahawa semua SOP mesti berteraskan sains.
“Kuarantin bagi pengembara yang pulang dari luar adalah 10 hari,” katanya. “Ini berdasarkan kajian yang menunjukkan risiko jangkitan amat rendah (kurang daripada 1%) selepas 10 hari dengan pemantauan dan ujian dilakukan.”
Dengan tempoh inkubasi Covid-19 dianggarkan sehingga 14 hari, AMM berkata tiga hari jauh kurang mencukupi untuk mengesan sebarang gejala.
AMM turut berkata, keberkesanan “gelembung perjalanan” ini masih belum ditentukan, dengan jangkitan yang begitu pantas berlaku di seluruh dunia.
Ia menggesa kerajaan mengelak membuka sempadan kepada delegasi “gelembung” seterusnya membuka risiko membawa masuk varian baharu yang mungkin membebankan lagi sistem penjagaan kesihatan.
“Tiada data mencukupi berhubung mutasi untuk mewujudkan protokol terbaik demi perjalanan selamat,” kata AAM. “Kami faham ada desakan untuk memacu semula ekonomi namun ini hanya boleh dilakukan dengan mengawal pandemik itu.”