18 Feb detik penentu Rosmah dalam tuduhan rasuah RM1.25 bilion

18 Feb detik penentu Rosmah dalam tuduhan rasuah RM1.25 bilion

Mahkamah tetapkan tarikh itu untuk memutuskan sama ada Rosmah perlu membela diri atas tuduhan terhadapnya.

Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi hari ini. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 18 Feb ini sama ada Rosmah Mansor, yang menghadapi tiga tuduhan rasuah untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan projek solar bernilai RM RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, perlu membela diri.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwa dan pembelaan.

Pendakwaan memanggil 23 saksi pendakwa dalam perbicaraan yang bermula pada 5 Feb tahun lalu.

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu, perlu membela diri jika mahkamah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Jika tidak, dia akan dibebaskan.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, menerusi pembantunya ketika itu, Rizal Mansor untuk membantu syarikat berkenaan memperoleh kontrak menerusi rundingan terus dengan kementerian pendidikan.

Dia turut didakwa atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta – iaitu RM1.5 juta daripada Saidi di kediaman peribadinya di Langgak Duta di sini, pada 7 Sept 2017, dan RM5 juta lagi daripada Saidi menerusi Rizal di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram sebelum itu dalam hujahnya berkata, intipati pembelaan tertuduh adalah Rosmah tidak meminta atau menerima wang itu secara peribadi daripada Saidi.

“Namun itu bukan kes kami. Ia dilakukan menerusi Rizal,” katanya dengan menambah, permintaan seperti itu boleh dibuat menerusi orang lain seperti diperuntukkan dalam Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Sri Ram berkata, Rosmah seorang yang bijak kerana menggunakan Rizal sebagai ejennya.

Sementara itu, peguam bela Rosmah Akberdin Abdul Kadir berkata, tiada sebab untuk anak guamnya campur tangan bagi pihak syarikat brekenaan kerana Saidi telah mendapat 14 surat (atau minit) daripada pembantu Najib, Ahmad Aazmey Abu Talib untuk mendapatkan projek berkenaan.

Tambahan, katanya, Saidi dan Rayyan yang menawarkan sumbangan politik menerusi rosmah supaya Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Najib mampu menang pada pilihan raya umum ke-14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.