Inkues lelaki ditembak mati polis 9 tahun lalu bermula 15 Mac

Inkues lelaki ditembak mati polis 9 tahun lalu bermula 15 Mac

Menurut wakil Majlis Peguam M Visvanathan, tidak banyak yang diketahui mengenai kematian Wan Fadlie Wan Mohamad Fadzil.

Inkues bakal bermula 15 Mac ini akan menyiasat kematian Wan Fadlie Wan Mohamad Fadzil yang berusia 32 tahun ketika kejadian.  (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Koroner menetapkan lima hari bermula 15 Mac untuk menyiasat kematian seorang lelaki yang ditembak polis pada 2012.

Peguam M Visvanathan berkata, tarikh itu diumumkan oleh koroner Mahyun Talib.

“Selepas sembilan tahun, inkues akan dimulakan,” kata peguam yang dilantik untuk mengadakan taklimat pengawasan bagi Majlis Peguam.

Menurut Visvanathan, Mahyun berkata beliau akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada pegawai pelaksana Nurliyana Mohd Jafar, peguam yang mewakili keluarga Wan Fadlie Wan Mohamad Fadzil, dan kepada Visvanathan pada 3 Mac sebagai persediaan untuk inkues itu.

Katanya, Mahyun juga akan mengarahkan pegawai penyiasat polis untuk mengesan keluarga Wan Fadlie untuk mengikuti prosiding tersebut.

Peguam itu, yang juga pengerusi kumpulan hak asasi Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) berkata, tidak banyak yang diketahui mengenai kematian Wan Fadlie.

“Apa yang kita tahu adalah dia ditembak mati ketika berusia 32 tahun pada 2012,” katanya memaklumkan lebih banyak perincian dijangka didedahkan dalam siasatan.

Visvanathan berkata, dia akan dibenarkan menyoal saksi tetapi dengan izin koroner.

Inkues itu diadakan seperti dituntut bawah Seksyen 339 Kanun Prosedur Jenayah untuk menentukan keadaan seperti mengapa, bila, bagaimana, di mana dan apa yang menyebabkan kematian seseorang.

Koroner juga harus menentukan sama ada terdapat pihak yang “terlibat secara jenayah”.

Inkues bukanlah perbicaraan di mana saksi akan menjalani pemeriksaan balas dan mahkamah menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.