
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 701 telah dikompaun, 41 individu direman manakala tiga lagi lagi dilepaskan dengan ikat jamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (156), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (151), tidak memakai pelitup muka (129), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (112), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (57), aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain (127),” katanya dalam sidang media hari ini.
Ismail memaklumkan, Op Benteng Zon Utara Kelantan di Kawasan Op Merpati 8 Briged telah mencatat kejayaan apabila Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan di Kg Lubok Stol, Rantau Panjang, berjaya merampas 10 guni syabu seberat 402kg yang bernilai lebih RM16 juta.
“Ini antara kejayaan dan keberkesanan Op Benteng yang dilaksanakan secara bersepadu bersama 19 agensi penguatkuasaan dan pasukan keselamatan negara diterajui ATM dalam mengawal ketat sempadan negara dari kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan,” ujar beliau.
Sementara itu, Ismail menjelaskan video tular mengaitkan pengumuman beliau berkaitan hukuman pelanggaran SOP merupakan satu berita palsu.
“Ingin saya tegaskan di sini, video yang tular itu adalah video lama yang bertarikh 14 April 2020.”
Ops Sanitasi juga diteruskan seperti biasa dengan 88 operasi sanitasi dilaksanakan di seluruh negara semalam, merangkumi 41 Zon Merah, tiga Zon Jingga, enam Zon Kuning dan satu Zon Hijau.
Mengenai saringan wajib pekerja asing, beliau berkata sejumlah, seramai 12,454 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 94 didapati positif Covid-19.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 332,216 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 14,568 majikan,” katanya.
Ismail turut memaklumkan, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Perak dan Blok Pusat Latihan Pegawai Penjara Zon 2 dan Zon 3, Penjara Marang, Terengganu dijadualkan tamat pada 10 Feb ini.