“Faham-faham” tak sebut Jho Low dalam rekod syarikat 1MDB, kata bekas CEO

“Faham-faham” tak sebut Jho Low dalam rekod syarikat 1MDB, kata bekas CEO

Bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman berkata, pekerja di syarikat itu maklum dan tahu bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho tidak patut disebut dalam rekod rasmi

Mohd Hazem Abdul Rahman.
KUALA LUMPUR:
Bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa “peraturan tak rasmi” syarikat itu adalah untuk tidak menyebut nama ahli perniagaan Low Taek Jho dalam sebarang dokumen.

Beliau yang memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Najib Razak berkata, ahli perniagaan yang sehingga kini gagal dikesan itu memberikannya arahan menerusi e-mel mengenai apa cadangan projek pembangunan dan pelaburan patut dilakukan 1MDB.

Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akan AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

“Semua orang di 1MDB maklum dan faham bahawa nama Jho Low tidak patut disebut dalam rekod.

“Ini sebahagian daripada modus operandinya,” kata Hazem sambil menambah syarikat itu menganggap arahan Low seperti datang daripada “Pejabat Perdana Menteri”.

Peguam Najib Wan Aizuddin Wan Mohammed kemudian menyoal saksi itu mengenai bila Low meletakkan “peraturan” berkenaan iaitu untuk tidak menyebut namanya dalam rekod syarikat.

Menjawab soalan itu, Hazem berkata Low memaklumkannya ketika mereka pertama kali bertemu di sebuah hotel di Putrajaya pada 15 Julai 2012. Saksi itu berkata, setiausaha sulit Najib, Azlin Alias memperkenalkannya kepada ahli perniagaan Pulau Pinang itu yang juga “penasihat tidak rasmi” bekas perdana menteri terbabit.

Hazem kemudian menyertai 1MDB sebagai ketua pegawai operasi, bulan berikutnya.

Menjawab soalan Wan Aizuddin sama ada beliau menyimpan keraguan berhubung arahan Low supaya dirahsiakan, beliau berkata itu menjadi amalan kerana syarikat itu dimiliki kerajaan, manakala orang yang mengawal 1MDB pula “paling berkuasa di negara ini”, tanpa menamakan sesiapa.

Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.