Pusat Penilaian Covid-19 terbesar negara mula terima pesakit

Pusat Penilaian Covid-19 terbesar negara mula terima pesakit

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) meramalkan lebih 1,300 pesakit Covid-19 sudah membuat janji temu atau 'walk-in' di CAC Stadium Malawati.

Petugas Kesihatan membuat persedian dan merekodkan kehadiran pesakit Covid-19 ketika hari pertama pembukaan CAC di Stadium Malawati Shah Alam hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) meramalkan lebih 1,300 pesakit Covid-19 yang sudah membuat janji temu atau ‘walk-in’, akan hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling di Stadium Malawati, pada hari pertama di sini, hari ini.

Pengarah JKNS, Dr Sha’ari Ngadiman dipetik Berita Harian, berkata semakan pihaknya semalam mendapati setakat ini seramai 1,020 pesakit yang disahkan positif Covid-19 dalam Daerah Petaling sudah membuat janji temu.

“Semakan janji temu pesakit yang berdaftar untuk hadir di Stadium Malawati ini adalah 1,020 orang manakala bancian harian yang datang secara ‘walk in’, adalah 200 hingga 300 pesakit. Jadi, saya jangkakan hari ini boleh mencecah 1,300 hingga 1,400 pesakit yang akan datang ke stadium ini.

“Pada masa sama, pesakit yang menjalani kuarantin di rumah boleh datang ke sini untuk kita tamatkan prosedur kuarantin di rumah di kawasan daerah Petaling ini,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi terbabit, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sha’ari berkata, walaupun keutamaan CAC PKD Petaling adalah kepada pesakit dalam daerah Petaling, pihaknya tetap memberi layanan sama kepada pesakit dari daerah lain.

“Jika ada pesakit dari daerah lain datang ke sini, mereka tetap dilayan seperti biasa (proses sama).

“Di sini bukan untuk warga asing tetapi sekiranya ada yang datang, kita terima tetapi keutamaan warga tempatan tinggal di dalam daerah Petaling,” katanya.

Beliau berkata, semua pesakit yang datang diberikan laluan khas malah mereka tidak akan bercampur dengan laluan petugas dan orang awam lain.

“Apabila pesakit tiba di sini, mereka akan ada pendaftaran, semakan, saringan serta tempat menunggu untuk dipindahkan ke hospital ataupun Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS),” katanya.

Katanya, Stadium Malawati menjadi lokasi CAC terbesar di Malaysia malah turut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Sementara itu katanya, selain 80 petugas PKD Petaling, pihaknya mendapat kerjasama pelbagai agensi di daerah ini termasuk Pejabat Daerah Petaling, Kerajaan Negeri selain Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semalam, media melaporkan stadium itu akan menggantikan CAC PKD Petaling di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) SS15 sebelum ini, dan dianggar boleh memuatkan antara 1,000 hingga 1,500 pesakit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.