Laksana sistem indemniti untuk program vaksinasi, kata Lee Lam Thye

Laksana sistem indemniti untuk program vaksinasi, kata Lee Lam Thye

Lee berkata, sistem indemniti itu boleh diperkenalkan dalam bentuk Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin.

Lee Lam Thye berkata, sistem indemniti akan meningkatkan lagi keyakinan orang ramai terhadap keselamatan vaksin.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu memberi keutamaan untuk mewujudkan sistem indemniti atau ganti rugi bagi membantu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap program imunisasi Covid-19 negara, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Lee Lam Thye.

Katanya, sistem indemniti itu boleh diperkenalkan dalam bentuk Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin.

“Sistem sebegitu akan meningkatkan lagi keyakinan orang ramai terhadap keselamatan vaksin, yang juga langkah perlu untuk meyakinkan mereka yang telah dipengaruhi oleh laporan negatif dalam media sosial.

“Ia juga penting untuk memastikan ketelusan dalam perolehan ubat-ubatan yang juga mesti berasaskan bukti… dan untuk memastikan manfaat maksimum terakru daripada proses imunisasi, mesti ada sistem yang disediakan untuk memastikan ketelusan dan mengelakkan pembaziran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) mempunyai peranan penting untuk dimainkan, iaitu ia mesti berdikari dan bebas membuat keputusan terbaik untuk rakyat dan negara.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada akhir bulan ini, dengan 80% penduduk negara ini atau kira-kira 26.5 juta orang akan menerima vaksin secara percuma.

Program imunisasi ini akan dijalankan dalam tiga fasa yang pertama melibatkan kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.