Penamatan program subsidi upah tidak tingkatkan kadar pengangguran, kata Perkeso

Penamatan program subsidi upah tidak tingkatkan kadar pengangguran, kata Perkeso

Sebuah tinjauan telah mendapati lebih daripada separuh respondennya yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang menyertai PSU cenderung untuk mengekalkan pekerja sedia ada.

Program subsidi upah dirangka oleh kerajaan sebagai bantuan kewangan langsung kepada syarikat untuk mengekalkan pekerjaan sepanjang pandemik Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Penamatan Program Subsidi Upah (PSU) dijangka tidak akan menyumbang kepada peningkatan pemberhentian kerja atau kadar pengangguran, menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua eksekutifnya, Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata jangkaan itu berdasarkan hasil tinjauan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA) yang melibatkan 469 syarikat yang menyertai PSU.

“Hasil tinjauan mendapati hanya 15% daripada responden merancang untuk mengurangkan pekerja mereka, sementara 29% bercadang untuk meningkatkan jumlah pekerja mereka, dan lebih daripada separuh atau 56% cenderung untuk mengekalkan pekerja sedia ada.

“Hasil tinjauan ini juga menyokong pelaksanaan PSU bersasar pada tahun ini seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PSU dirangka oleh kerajaan sebagai bantuan kewangan langsung kepada syarikat untuk mengekalkan pekerjaan sepanjang pandemik Covid-19. Program yang dilancarkan pada 1 April 2020 itu merangkumi bantuan kewangan selama enam bulan dan dilanjutkan selama tiga bulan lagi di bawah PSU 2.0.

Hingga 31 Dis 2020, lebih 3.7 juta pekerja dan 428,516 majikan telah mendapat manfaat daripada program ini.

Penamatan PSU mencetuskan perdebatan umum mengenai kesannya terhadap pekerjaan dan seterusnya, implikasi terhadap kadar pengangguran.

Mohammed Azman berkata tinjauan ringkas yang dijalankan secara dalam talian dalam tempoh bermula 30 Okt hingga 22 Nov tahun lalu itu bertujuan menilai impak penamatan PSU ke atas pekerjaan, dan hasilnya diperincikan dalam laporan “The Day After Tomorrow: Estimating the Impacts of Ending Temporary Wage Subsidy Programme”.

Katanya bagaimanapun, penemuan tinjauan tersebut tidak mengambil kira kesan ekonomi akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bersyarat di Lembah Klang yang bermula pada 14 Okt tahun lalu dan pelaksanaan PKP2.0 yang dilaksanakan pada 13 Jan tahun ini.

Tambahnya, PKP bersyarat dan PKP 2.0 dijangka memberi impak sederhana kepada pemulihan ekonomi dan seterusnya, berpotensi memberi kesan kepada pekerjaan.

Perkeso menerusi Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), akan terus memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada maklumat pasaran buruh di negara ini.

EU-ERA adalah pusat penyelidikan kolaboratif antara SIP Perkeso dan Universiti Putra Malaysia Consultancy & Services (UPMCS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.