KPDNHEP P Pinang tumpaskan kegiatan botolkan minyak masak bersubsidi

KPDNHEP P Pinang tumpaskan kegiatan botolkan minyak masak bersubsidi

Syarikat dipercayai kaut untung, memindahkan minyak masak bersubsidi satu kilogram ke dalam botol berjenama lain bersaiz dua dan lima kilogram

Serbuan turut menemui aktiviti membungkus rempah ratus disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran. (Bernama pic)
BUKIT MERTAJAM:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan penyelewengan yang membotolkan minyak masak bersubsidi di sebuah premis di Simpang Ampat di sini hari ini.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata hasil serbuan mendapati syarikat terlibat menjalankan kerja-kerja memindahkan minyak masak bersubsidi satu kilogram ke dalam botol minyak masak bersaiz dua dan lima kilogram berjenama lain untuk dipasarkan ke kedai-kedai runcit di sekitar Pulau Pinang.

“Mereka menggunakan minyak subsidi yang dibeli dengan harga subsidi iaitu RM2.50 sepeket. Ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana barangan bersubsidi ditanggung oleh kerajaan khusus untuk kumpulan sasar, B40.

“Kita tidak kawal harga minyak masak dalam bungkusan dua dan lima kilogram. Harga minyak masak dunia kini telah meningkat dan mereka mengambil jalan mudah untuk mendapatkan keuntungan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menjalankan serbuan di premis terbabit hari ini.

Beliau berkata hasil serbuan juga mendapati terdapat aktiviti membungkus rempah ratus yang disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

Mohd Ridzuan berkata dalam serbuan itu pihaknya telah menyita 7,771 plastik kosong minyak masak bersubsidi, 617 botol minyak masak dan 420 bungkusan berisi rempah ratus yang disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM27,000.

KPDNHEP turut menahan dua individu untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyeleweng dan menyalahgunakan minyak masak bersubsidi, manakala kesalahan menggunakan logo halal tanpa kebenaran akan disiasat di bawah Perkara 4 (1) (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Katanya serbuan itu dilakukan dengan kerjasama pasukan polis selepas melakukan intipan dan risikan sejak dua bulan lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.