Gelembung perjalanan dijangka rancakkan kembali pelancongan, kata menteri

Gelembung perjalanan dijangka rancakkan kembali pelancongan, kata menteri

Gelembung perjalanan turut membabitkan negara jiran, Asia Pasifik, yang dikenal pasti selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Nancy Shukri berkata kesepakatan dicapai Malaysia, Indonesia antara pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan dirangka sejak Julai lalu.
PUTRAJAYA:
Kesepakatan yang dicapai Malaysia dan Indonesia berhubung Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik/ Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA) dijangka dapat merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Beliau yang berterima kasih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas kejayaan mendapatkan kesepakatan Indonesia itu, berkata inisiatif tersebut antara pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang dirangka sejak Julai tahun lalu.

“Alhamdulillah, ini berita baik dan ditunggu-tunggu MOTAC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan empat mata itu ialah pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan RGL, diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.

Nancy berkata MOTAC sebelum ini juga telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar bagi meneroka peluang mewujudkan gelembung perjalanan.

Katanya beberapa negara telah dikenal pasti bagi tujuan itu, termasuk negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Thailand serta rantau Asia Pasifik seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Negara-negara ini dikenal pasti sebagai selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Pelaksanaannya bagaimanapun tertakluk kepada perbincangan dua hala dan pertimbangan mengenai aspek kesihatan, imigrasi, pengesanan data, dan pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan di kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebagai Pengerusi Suruhanjaya bagi Rantau Asia Timur & Pasifik dalam Jawatankuasa Krisis Pelancongan Global, Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bersatu (UNWTO), Malaysia turut menyuarakan cadangan ketelusan dan penyeragaman prosedur operasi standard merentas sempadan oleh negara-negara yang selamat, bagi memudahkan perjalanan dengan mengambil kira pandangan agensi-agensi kesihatan negara terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.