Finalis Anugerah Belia Komanwel dalam misi selamatkan kehidupan marin

Finalis Anugerah Belia Komanwel dalam misi selamatkan kehidupan marin

Selepas enam tahun di pantai Labuan, Mogesh Sabapathy memulakan projek ‘Life Below Water’ dan menjadi finalis Anugerah Belia Komanwel.

Mogesh Sababathy (kanan) dengan ahli yang lain di Asean+3 Youth Environment Forum di Thailand.
PETALING JAYA:
Mogesh Sababathy masih ingat kenangan indah ketika berlari mengelilingi pantai di Labuan.

Tetapi, fokusnya tertumpu pada laut, atau apa yang berada di bawahnya. Kehidupan marin yang menarik perhatian anak muda berusia 23 tahun itu.

Kini, Mogesh ialah ahli biologi marin muda dan finalis dalam Anugerah Belia Komanwel 2021 atas usahanya dalam pembangunan mampan “Life Below Water”

Beliau tinggal di Labuan kira-kira enam tahun, di mana ibu bapanya berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 2004.

Ia adalah tahun paling mudah dipengaruhi ketika kanak-kanak sedang membesar, antara usia enam hingga 12 tahun.

“Kami dikelilingi laut dan saya selalu menghabiskan banyak masa di pantai. Ini memupuk minat saya terhadap kehidupan di laut, khanyas apa yang berada di bawah permukaannya,” katanya kepada FMT.

Mogesh, yang menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Terengganu, berkata beliau susah hati dengan sejumlah besar sisa yang dibuang di tepi pantai dan merosakkan keindahan pantai yang bersih di Labuan. Ia menimbulkan keindinannya untuk membantu memelihara alam sekitar.

Mogesh Sababathy mengutip semua jenis sampah yang dibuang di pantai.

Projek Mogesh yang membawanya ke pusingan akhir anugerah itu memfokuskan Matlamat Pembangunan Mampan (SGD) “Life Below Water”.

Menurut laman web Komanwel, Mogesh antara pencipta, aktivis dan usahawan dari 18 negara yang disenarai pendek. Pemenangnya akan diumumkan 10 Mac nanti.

“Saya pengasas bersama Projek ‘Ocean Hope’, sebuah kumpulan yang diterajui belia bertujuan meningkatkan kebolehlihatan isu lautan dan pemuliharaan alam sekitar melalui kempen serta latihan kepimpinan belia.

“Kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap kepentingan menjaga kebersihan laut tidak tinggi kerana ramai daripada kita mengambil mudah kekayaan alam sekitar yang dianugerahkan Tuhan ini.”

Kumpulan “Ocean Hope” menjalankan projek komuniti pendidikan untuk mengurangkan amalan membuang sampah dan penangkapan ikan tidak lestari, serta siri webinar celik lautan mengenai pengurusan sisa, yang mencapai lebih 10,000 individu di 15 negara.

Mogesh berkata, beliau dicalonkan Majlis Belia Malaysia untuk anugerah itu dan menjadi finalis dalam pertandingan berprestij itu ialah pengiktirafan yang dicapai rakyat Malaysia.

Katanya, berita seperti itu sangat dialu-alukan dalam keadaan suram dilanda pandemik.

“Memenangi anugerah itu akan menjadi bonus. Ia akan mengangkat Malaysia dalam peta oseanografi. Ini akan mendorong saya untuk bekerja lebih keras bagi melakukan lebih banyak dalam bidang ini.”

Tetapi, memenangi anugerah berprestij itu tidak terlalu penting baginya sekarang, sebaliknya ialah kesan Covid-19 terhadap masyarakat. Sejak empat bulan lalu, Mogesh menjadi pembantu penyelidik dalam projek Covid-19 yang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Ia adalah projek perintis yang mengkaji kesan Covid-19 pada wanita hamil dan bayi baru lahir. Pasukan ini dijangka tampil dengan beberapa penemuan menjelang pertengahan tahun ini.”

Keputusan Anugerah Belia Komanwel 2021 akan diumumkan melalui majlis dalam talian dengan juara keseluruhan memenangi trofi dan £5,000 (kira-kira RM28,000), manakala pemenang peringkat rantau mendapat £3,000 (RM16,700). Setiap finalis juga akan menerima piala, sijil dan £1,000 (RM5,600).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.