Covid-19: IMR kaji penggunaan air liur, ‘deep throat saliva’ sebagai sampel ujian

Covid-19: IMR kaji penggunaan air liur, ‘deep throat saliva’ sebagai sampel ujian

Kaedah ini dilihat penting kerana ia bersifat “self-collected” (dikumpul sendiri) dan akan menjimatkan pemakaian penggunaan PPE.

Sampel air liur (awal pagi) dan ‘deep throat saliva’ adalah sebagus sampel calitan daripada hidung dan tekak untuk mengesan Covid-19, menurut Ketua Unit Virologi IMR Dr T Ravindran.
KUALA LUMPUR:
Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang mengkaji untuk menggunakan air liur (awal pagi) dan “deep throat saliva” sebagai sampel bagi mengesan Covid-19.

Ketua Unit Virologi IMR Dr T Ravindran berkata ini merupakan penemuan terbaharu bagi menggantikan sampel yang diambil hasil calitan pada hidung dan tekak pada masa ini.

“(Ini) telah kita nilai, dan memang sebagus sampel yang kita guna sekarang iaitu calitan daripada hidung dan tekak,” katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan siri 2/201 secara dalam talian di sini semalam.

Kaedah tersebut dilihat penting kerana ia bersifat “self-collected” (dikumpul sendiri) dan akan menjimatkan pemakaian penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE).

Sampel itu juga setakat ini didapati sesuai bagi ujian ‘real-time reverse transcriptase-PCR’ (RT-PCR).

“Kita juga akan mengkaji sama ada sampel ini sesuai digunakan untuk ujian antigen-RTK (RTK-Ag), kita perlu sedikit masa lagi untuk melengkapkannya,” katanya.

Sementara itu dalam sesi yang sama, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Dr Hani Mat Hussin berkata, sebanyak 6,336,804 ujian Covid-19 telah dilakukan di seluruh makmal di negara ini sejak 24 Jan tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 4,477,839 ujian dibuat menggunakan RT-PCR manakala sejumlah 1,858,965 ujian lagi menggunakan RTK-Ag,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.