
Bagaimanapun jemaah perlu saling bertolak ansur kerana hanya jumlah tertentu dibenarkan selain prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk pemantuan pihak berkuasa masjid dengan bantuan pihak polis.
Tinjauan FMT di masjid itu mendapati jemaah mengikut SOP yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri, selain memastikan penjarakan fizikal 1.5 meter.
Mereka dilihat beratur mengikut jarak yang ditetapkan sebelum pemeriksaan suhu dilakukan dan dibenarkan masuk ke dalam amasjid melalui laluan khas yang disediakan.
Sorang jemaah, Mohd Razak Aziz, 47 tahun berkongsi kegembiraannya apabila dapat menunaikan solat Jumaat bersama anak lelakinya, Mohd Hakim Sufian, 14
hari ini.
“Memang teruja sangat, bila dapat tahu berita tentang kebenaran menunaikan solat ini, saya terus berdoa semoga diberikan ruang hari ini untuk kembali solat di masjid.
“Saya keluar rumah sejak jam 12.15 tengah hari supaya tidak terlambat dan masih ada ruang untuk kami berdua.
“Sebelum PKP kami datang jam 1 tengah hari. Kami berharap orang ramai akan patuh pada SOP bila kerajaan benar solat Jumaat, jangan ada jangkitan di kawasan masjid, kita tidak mahu masjid ditutup lagi,” katanya.
Kelegaan sama disuarakan Sidek Abdullah, 58 yang tinggal di kawasan sekitar TTDI, apabila menjadi antara 1,000 jemaah yang berpeluang solat Jumaat hari ini.
Katanya, walaupun gembira dapat kembali solat Jumaat namun rasa bimbang dijangkiti Covid-19 tinggi apabila kadar jangkitan seluruh negara ketika ini masih sekitar 3,000 hingga 4,0000 sehari.
“Rasa bimbang itu memang ada sebab kes Covid-19 masih tinggi di negara kita, tapi saya kena berhati-hati dan mematuhi SOP yang ditetapkan, kena jaga diri, sebab nak seimbang antara kewajipan beribadah dengan kesihatan.
“Memang anak-anak nasihat tangguh dulu solat Jumaat, memandangkan usia saya yang sudah lanjut, dan dikhuatiri mudah untuk dijangkiti, tapi saya tawakal datang juga ke masjid dengan berhati-hati. Kalau tak datang masjid bila kerajaan benarkan, rasa janggal duduk rumah tapi orang lain pergi masjid,” katanya.

Mohd, Yusra Kamarudin, 34, turut berkongsi perasaan khuatir yang sama untuk ke masjid apabila kes Covid-19 belum reda, namun bertindak mengambil langkah menjaga kawalan kendiri.
“Saya datang hari ini, ambil wujud di rumah siap-siap, duduk jauh dari orang dan bersalam tidak sekali.
“Malah masa balik saya bagi orang keluar masjid dulu dan bila keadaan masjid lengang baru saya keluar sebab tidak mahu bersesak di pintu keluar. Sampai sahaja di rumah saya akan terus mandi,”katanya.
Sementara itu, pihak pengurusan masjid, Zolkepli Jamhari ketika ditemui berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP yang ditetapkan termasuk jarak 1.5 meter.
“Kalau sebelum ini 1 meter, kali ini lebih ketat iaitu 1.5 meter. Kuota jumlah kehadiran juga terhad kepada 1,000 orang sahaja, separuh dari kapasiti keseluruhan masjid.
“Apa yang penting, mereka tidak bergejala, memakai pelitup muka, mendaftar dan memeriksa suhu.
Sepanjang berada di masjid juga mereka perlu patuh pada semua arahan yang telah dikeluarkan. Kita harap jemaah juga kekal patuh pada SOP di lain masa,” katanya sambil memaklumkan peraturan ketat itu bagi memastikan tiada penularan Covid-19 berlaku.
Beliau turut memaklumkan, bagi penghantar makanan seperti Grabfood dan Foodpanda, mereka disediakan ruang khusus untuk solat.
“Kita sedia ruang khusus untuk mereka solat, kita faham mereka juga ada hak untuk solat dan tunai kewajipan,” katanya sambil memaklumkan warga asing juga dibenar solat dengan pemantauan rapi termasuk tahap kesihatan mereka dan tidak bergejala.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), membenarkan jumlah jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diperluas kepada separuh daripada kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter bermula hari ini.
Bagi jemaah solat fardu lima waktu, jumlahnya diperluas kepada separuh daripada kapasiti dewan solat utama masjid dan surau juga dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
Sejak pelaksanaan PKP bermula 13 Jan lalu, solat Jumaat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sebelum ini dibenarkan dengan maksimum 30 jemaah.
Selain itu, pelaksanaan solat fardu dibenarkan dengan maksimum hanya lima jemaah terdiri daripada ahli jawatankuasa dan pegawai masjid.