Kenapa KPM membisu anak tanpa kerakyatan diminta tunjuk pasport ke sekolah?

Kenapa KPM membisu anak tanpa kerakyatan diminta tunjuk pasport ke sekolah?

Aktivis bangkitkan isu di kawasan kelabu yang gagal ditangani kerajaan berhubung masalah anak tanpa kerakyatan.

Ramai kanak-kanak ditolak untuk bersekolah kerana mereka anak angkat dan tidak dapat membuktikan ibu atau bapa kandung mereka warganegara Malaysia. (Gambar Putri Purnama Sugua)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menjelaskan mengapa syarat pasport untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan di sekolah kerajaan tiba-tiba diperkenalkan semula selepas ia dibatalkan pada 2018.

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata, beliau terkejut apabila syarat itu dilaksanakan dalam diam terutama di Pulau Pinang.

Seorang bapa, MV Krishnan, 64, pada Selasa mengadu anak perempuan angkatnya yang berusia 13 tahun tidak dapat memasuki tingkatan satu tahun ini kerana dasar baru itu.

“Jabatan Pendidikan beritahu kami, kami perlu perbaharui pasportnya untuk mendaftarkannya di sekolah kerajaan kerana dia bukan warganegara Malaysia,” katanya seperti dilaporkan.

Dia mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat ketika usianya masih bayi.

Krishnan dikatakan salah seorang daripada 19 ibu bapa di Pulau Pinang yang menghadapi isu sama dengan anak angkat mereka.

Teo berkata, kes sama turut dilaporkan di Johor melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang tiada status warganegara. Ibu bapa angkat kanak-kanak itu diminta mengemukakan pas pelajar kepada Jabatan Imigresen jika mahu mendaftarkannya di sekolah kerajaan.

Susulan itu, satu surat sudah diberikan untuk perhatian Kementerian Pendidikan (KPM), dan akhirnya pelajar berkenaan diberikan kebenaran untuk mengikuti sesi persekolahan awal tahun ini.

“Nampaknya KPM tidak mempunyai dasar yang konsisten mengenai isu ini. Adakah terlalu ramai kakitangan bawahan yang masih tidak memahami polisi yang cukup mudah ini? Saya minta kementerian segera menjelaskan masalah ini,” katanya kepada FMT.

Maalini Ramalo dari Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Pedalaman Malaysia (DHRRA) berkata, masalah itu timbul berdasarkan surat pekeliling dikeluarkan pada 2018, yang membenarkan anak tanpa warganegara didaftarkan ke sekolah kerajaan.

Beliau berkata, surat itu hanya mengatakan bukan warganegara boleh bersekolah jika salah seorang ibu bapa mereka warganegara Malaysia atau jika pelajar tersebut anak angkat warganegara Malaysia. Ia tidak menyebut anak tanpa warganegara, membiarkan mereka dalam keadaan hampa.

Maalini berkata, syarat terbaharu berkaitan pasport mungkin disebabkan oleh tempat asal pemohon yang diklasifikasikan sebagai kawasan kelabu, yang mana status seseorang tidak dijelaskan dengan terperinci. Hal ini mengakibatkan KPM terpaksa meminta dokumen perjalanan individu berkaitan.

Katanya, terdahulu, DHRRA membantu hampir 200 kes berkaitan anak tanpa kerakyatan, urusan permohonan kemasukan ke sekolah dan membayar yuran mereka.

Maalini berkata, anak angkat di Pulau Pinang itu sepatutnya mudah masuk ke sekolah kerana penjaga sah mereka rakyat Malaysia.

“Tetapi selama bertahun-tahun bekerja, kami mempunyai banyak senario pegawai menuntut pasport walaupun surat pekeliling ini dikeluarkan pada Jan 2018,” katanya.

“Namun, selama beberapa tahun kami menjalankan kerja ini, pelbagai senario kami hadapi. Pegawai yang tetap berkeras supaya kami mengemukakan pasport biarpun kami berkali-kali merujuk kepada surat pekeliling yang dikuatkuasakan sejak Jan 2018,” katanya.

Madeline Berma, bekas anggota kerajaan bawah Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan memberitahu syarat terbaharu itu menunjukkan KPM melupakan dasar yang diperkenalkan bekas menterinya Maszlee Malik.

Beliau berkata, dasar itu bertujuan memastikan semua kanak-kanak mempunyai akses ke pendidikan, baik berstatus warganegara atau tidak.

Aktivis hak asasi manusia Adrian Pereira berkata, Malaysia yang menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan hak kanak-kanak, seharusnya membenarkan semua anak-anak di negara ini menerima akses pendidikan tanpa mengira status dokumentasi.

Bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), anak-anak tanpa warganegara yang dijadikan anak angkat hanya perlu mengemukakan beberapa dokumen penting termasuk sijil anak angkat yang sah, perintah mahkamah atau Borang 13 daripada Jabatan Kebajikan Masyakarat (JKM) bagi membolehkan mereka didaftarkan ke sekolah kerajaan.

Bagaimanapun, di Pulau Pinang setakat ini 10 kanak-kanak dinafikan hak pendidikan kerana gagal memenuhi syarat mengemukakan pasport.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.