Kementerian Kesihatan pertimbang harga tetap untuk ujian Covid-19

Kementerian Kesihatan pertimbang harga tetap untuk ujian Covid-19

Ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata adalah penting harganya dikawal.

Ujian Covid-19 menggunakan kaedah RT-PCR berharga antara RM220 hingga RM388 di klinink swasta.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mempertimbangkan untuk mengawal harga ujian saringan Covid-19 di hospital dan klinik swasta serta kerajaan.

Ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata, langkah kawalan akan sama dengan kawalan harga pelitup muka yang ditetapkan tahun lalu susulan permintaan tinggi.

Harga siling pelitup muka ditetapkan pada RM1.20 Ogos lalu selepas pada awalnya ditetapkan sebagai RM1.50 susulan lonjakan harga jualan akibat permintaan tinggi.

Noor Hisham berkata, adalah penting untuk mengawal harga ujian saringan, iaitu ujian diagnostik molekular menggunakan kaedah ‘Real-Time Reverse Transcription-Polymerese Chain Reaction’ (RT-PCR) atau kit ujian pantas antigen.

Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kami meneliti sama ada boleh menetapkan harga ujian berkenaan di makmal swasta dan kerajaan,” katanya dalam satu dialog petang ini.

Noor Hisham berkata, ini antara inisiatif yang dianggap kementerian mampu membantu menangani pandemik ketika tempoh darurat yang dijadualkan berakhir pada 1 Ogos.

Harga ujian RT-PCT adalah antara RM220 hingga RM388 di klinik swasta, manakala ujian kit ujian pantas antigen mencecah antara RM90 hingga RM175.

Noor Hisham juga berkata, kementerian mempertimbangkan membenarkan doktor swasta mengeluarkan perintah pemantauan di rumah, selain gelang tangan merah jambu bagi mereka yang positif Covid-19.

“Kami kini melihat sama ada boleh memberi kuasa kepada pengamal perubatan yang berdaftar untuk mengeluarkan perintah pemerhatian di rumah (HSO) atau gelang tangan, selain mengeluarkan perintah pelepasan bagi membuang gelang tangan merah jambu,” katanya.

HSO memerlukan individu menjalani kuarantin sendiri di rumah serta menjalani ujian pada hari ke-13.

Berhubung kolaborasi antara hospital swasta dan kerajaan, Noor Hisham berkata kementerian melihat bagaimana untuk membenarkan segelintir pesakit Covid-19, contohnya golongan ekspatriat, untuk dirujuk ke hospital swasta “jika kos bukan faktor utama.”

“Jika segelintir (kes Covid-19) lebih selesa dirujuk ke hospital swasta, kita boleh membenarkannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.