Prasarana akan lapor SPRM, SSM berhubung projek kereta api Saudi

Prasarana akan lapor SPRM, SSM berhubung projek kereta api Saudi

Ia susulan audit dan siasatan forensik baru-baru ini mengenai penglibatannya dalam penyelenggaraan dan operasi Makkah Metro.

Prasarana Malaysia Bhd berkata, pihaknya mengalami kerugian sekitar RM450 juta dalam projek Makkah Metro pada 2019. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Prasarana Malaysia Bhd akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai projek kereta api Makkah Metro di Arab Saudi.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, ia susulan audit dan siasatan forensik baru-baru ini mengenai penglibatannya dalam penyelenggaraan dan operasi projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) dari 2015 hingga 2018.

“Pada 16 April 2015, Prasarana, melalui anak syarikatnya, Prasarana Integrated Management and Engineering Services Sdn Bhd (PRIME), diberikan kontrak tiga tahun untuk beroperasi dan menyelenggara kereta api tersebut, mengambil alih dari China Railway Construction Consortium.

“Projek itu menyebabkan Prasarana mengalami kerugian diaudit berjumlah 417 juta riyal Saudi (sekitar RM450.8 juta) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2019,” katanya.

Pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman berkata, lembaga pengarah sudah diberikan taklimat oleh jawatankuasa risiko audit berhubung perkara itu dan syarikat berkenaan tetap komited mengamalkan tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti.

“Ada alasan untuk Prasarana membawa perkara ini kepada pihak berkuasa bagi melakukan siasatan terperinci dan disusuli tindakan undang-undang.”

Prasarana berkata, keputusan memfailkan laporan itu menyusul selepas audit dan siasatan selama 18 bulan, termasuk semakan audit oleh PricewaterhouseCoopers, yang mengkaji semula proses sebelum dan selepas pemberian tender itu.

Ia turut mengkaji semula pelaksanaan kewajipan kontrak syarikat itu, pelaksanaan penyelenggaraan, pembaikan dan isu baik pulih yang membabitkan alat ganti dalam projek itu, serta pembabitan pegawai dan ahli lembaga pengarah ketika itu, Rapid Rail Sdn Bhd serta PRIME.

Tajuddin berkata, siasatan dalamannya mencabar kerana ramai pegawai penting terbabit sudah meninggalkan Prasarana, PRIME atau Rapid Rail, manakala penyiasat perlu meneliti banyak dokumen dipindahkan dari Arab Saudi ke Malaysia.

“Melangkah ke depan, sebuah jawatankuasa pelaburan lembaga pengarah sudah ditubuhkan untuk mengkaji pelaburan dan perniagaan utama Prasarana.”

Pada 2015, Prasarana mendapat kontrak tiga tahun bernilai RM911 juta untuk kerja mengendali dan menyelenggara kereta api MMMSL.

Selepas projek itu didapati mendatangkan kerugian kepada syarikat dari tahun ke tahun, Prasarana melancarkan audit dalaman ke atasnya sebaik saja kontraknya tamat pada 2018.

Pada Julai 2017, Ahli Parlimen Pandan ketika itu, Rafizi Ramli berkata, Prasarana akan mengalami kerugian kewangan besar kerana mengendali dan menyelenggara kereta api itu.

Beliau menjangkakan syarikat itu akan menanggung kerugian sehingga RM142 juta dari 2015 hingga Mei 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.