
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, peningkatan kes masih berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
“Negeri-negeri (ini dengan kes masih tinggi) yang berkepadatan tinggi, di samping mempunyai kegiatan ekonomi dan industri yang rancak,” katanya dalam perutusan khas.
Sementara itu, Muhyididn menggesa semua pihak menghentikan tohmahan tidak berasas terhadap pelaksanaan darurat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, kerajaan mendapat perkenan untuk melaksanakan darurat selepas Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersetuju penularan Covid-19 di tahap kritikal dan darurat diperlukan selaras keputusan Kabinet.
Beliau mengulangi perisytiharan darurat bertujuan memberi bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk menguruskan pandemik Covid-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan dalam usaha melindungi nyawa rakyat.
Walaupun ada pihak cuba mencabar pelaksanaan darurat di mahkamah, beliau percaya Agong sebagai ketua negara amat memahami dan menghormati sistem serta proses perundangan negara.
Bubar Parlimen selepas Covid-19 reda
Muhyiddin turut mengulangi janjinya akan menasihati Agong membubarkan Parlimen selepas penularan Covid-19 reda untuk memastikan pilihan raya umum ke-15 boleh diadakan dengan selamat.
Oleh itu, beliau meminta pemimpin kerajaan dan pembangkang bersama menggembleng tenaga memerangi Covid-19 tanpa mengira fahaman politik.
Katanya, kerajaan akan memantau perkembangan kes Covid-19 mengikut sektor dan lokaliti, serta menilai semula keberkesanan PKP yang dilanjutkan sehingga 18 Feb ini.
“Apapun tindakan atau langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan pastinya berasaskan matlamat untuk mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat dan melindungi nyawa anda semua.”