
Beliau berkata, kebenaran itu diberikan memandangkan tiada kluster baru berpunca daripada perniagaan terbabit.
Katanya, perniagaan itu dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam, termasuk pasar malam yang boleh berniaga mulai 4 petang dengan pematuhan ketat, iaitu jarak 1m antara gerai, laluan keluar masuk berasingan dan kawalan ketat oleh Rela.
“Dari segi jumlah pengunjung pasar malam dalam satu-satu masa, pihak berkuasa tempatan dan penganjur pasar malam akan bincang SOP itu. Kalau mereka nak hadkan kemasukan jumlah pengunjung, kita benarkan,” katanya dalam sidang media.
Ismail Sabri berkata, kedai gunting rambut hanya boleh menawarkan perkhidmatan potong rambut, manakala rawatan muka dan perkhidmatan lain tidak dibenarkan.
Katanya, tukang gunting rambut perlu memakai pelindung muka, apron dan sarung tangan (yang perlu ditukar untuk setiap pelanggan), gunting serta sikat dibersihkan dengan air panas.
Beliau memberi amaran premis yang melanggar SOP akan diarahkan tutup serta-merta, jika kes Covid-19 dilaporkan.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di blok tahanan dan kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Pontian, Johor tamat hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, 731 individu yang mengingkari arahan PKP ditahan semalam, dengan 709 orang daripadanya dikompaun, 19 individu direman dan tiga lagi dijamin.
Katanya, 20 pendatang asing tanpa izin dan seorang tekong ditahan serta 14 kenderaan dirampas dalam Operasi Benteng semalam.