
“Keadaan sangat tidak stabil. Dalam keadaan ini, lebih baik kita lihat dulu keputusan pilihan raya,” katanya dalam wawancara dengan Majlis Profesor Negara (MPN).
Lim berkata, satu-satunya perkara yang pasti ketika ini adalah terdapat tiga gabungan, iaitu Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
“Mana satu yang akan menjadi gabungan utama (selepas pilihan raya) terpulang kepada rakyat untuk tentukan.”
Pejuang, parti baru yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad, tahun lalu mencadangkan semua parti pembangkang membentuk satu “gabungan besar” untuk menentang PN pada pilihan raya umum akan datang.
Disember lalu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, PH sedia bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Mahathir, untuk membentuk “gabungan besar yang hebat” selagi mereka mematuhi prinsip gabungan.
Namun, bulan lalu, Pemuda PKR berkata, PH harus beralih daripada sebarang rancangan untuk bekerjasama dengan Mahathir, berikutan serangan terbaru bekas perdana menteri itu terhadap Anwar, yang juga presiden PKR.
Dalam perkembangan berasingan, Lim mempertahankan kesediaan DAP untuk membentuk pakatan dengan Umno semasa krisis di Perak.
Spekulasi mengenai kemungkinan Umno bekerjasama dengan DAP atau rakannya dalam PH timbul, selepas undi percaya untuk menyokong Ahmad Faizal Azumu tewas dengan 48 undi berbanding 10 undi di Dewan Undangan Negeri pada Disember lalu.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, ada kemungkinan membentuk pakatan dengan parti lain, termasuk daripada PH, untuk membentuk kerajaan Perak yang baru.
Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming menjawab spekulasi Umno itu dengan berkata, DAP bersedia membentuk pakatan untuk menubuhkan kerajaan negeri yang stabil dan berbilang kaum. Namun, ia mengundang kecaman.
Lim berkata, apa yang berlaku di Perak hanyalah satu perbincangan, tanpa mencapai sebarang kata putus.
“Tidak salah untuk berbincang. Jika berbincang (sesuatu) itu salah, tidak mungkin kami akan menyertai jawatankuasa bebas untuk menasihatkan Agong mengenai darurat.”