Agensi baru antara kaedah tangani isu ‘flat neraka’ di Pulau Pinang

Agensi baru antara kaedah tangani isu ‘flat neraka’ di Pulau Pinang

Kerajaan negeri membelanjakan hampir RM2 juta untuk kerja pembersihan, membaiki lif dan membayar bil utiliti sejak sedekad lalu.

P Ramasamy akan menemui pesuruhjaya bangunan MBSP untuk menyelesaikan masalah Flat Teluk Indah.
GEORGE TOWN:
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang sedang mencari kaedah baru untuk menangani masalah flat dianggap paling kotor di negeri itu, termasuk menubuhkan agensi baru untuk menjalankan kerja penyelenggaraan.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, sejak sedekad lalu, kerajaan negeri membelanjakan hampir RM2 juta untuk kerja pembersihan, membaiki lif dan membayar bil utiliti.

Katanya, masalah Flat Teluk Indah di Prai yang berusia 19 tahun itu berlarutan sejak beberapa dekad lalu hingga hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) flat tidak boleh menuding jari kepada penduduk kerana bersikap acuh tidak acuh memandangkan JMB sendiri sebahagian daripada masalah itu.

Ramasamy berkata, sebelum ini, terdapat pelbagai tuduhan banyak JMB menyalahgunakan dana dikumpul daripada yuran penyelenggaraan dan dana “one-off” lain yang disalurkan kerajaan negeri.

“Tidak ada flat kos rendah lain yang menerima dana sebanyak Flat Teluk Indah daripada kerajaan negeri dan peruntukan saya sendiri. Masalah yang berlaku di sini sebenarnya lebih besar daripada isu pembuangan sampah dari tingkat tinggi dan isu berkaitan JMB.

“Kedua-dua flat ini masih dalam proses penerimaan. Dengan kata lain, ia belum diserahkan kepada bahagian penyelenggaraan dan pengawasan pihak berkuasa tempatan. Inilah sebabnya mengapa syarikat mengutip sampah dan pembersihan swasta terlibat,” katanya kepada FMT.

Ramasamy berkata, beliau akan menemui pesuruhjaya bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menyelesaikan masalah jangka panjang itu yang menjejaskan penduduk di sana.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, bantuan sedang diusahakan untuk membaiki lif tidak berfungsi di flat.

Katanya, pihak berkuasa negeri dan persekutuan akan berusaha mendapatkan dana untuk membaiki kemudahan dan infrastruktur di flat tersebut.

Terdahulu, FMT melaporkan keadaan di flat itu, di mana beg sampah dicampak ke ruang kosong antara dua blok yang memisahkan flat itu setiap hari menyebabkan bau sangat busuk.

Sehingga kelmarin, semua enam lif masih tidak berfungsi di dua blok flat setinggi 21 tingkat itu, dan air di tangki tingkat atas terus melimpah kerana bahagiannya dicuri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.