
Dr Tan Maw Pin dari Universiti Malaya berkata, kerajaan tidak menyatakan dengan jelas dalam rancangan vaksinasinya siapa sebenarnya barisan hadapan.
“Petugas di rumah penjagaan adalah barisan hadapan. Malah, mereka yang bekerja di rumah penjagaan sepatutnya lebih diutamakan berbanding petugas barisan hadapan biasa. Jangkitan Covid-19 sangat tidak terkawal terutamanya di rumah jagaan kerana warga tua mempunyai sistem imun yang lebih lemah.”
Tan berkata, pemvaksinan penghuni rumah jagaan juga penting kerana lebih sukar bagi warga tua mengikuti prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan seperti menutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk.
Katanya, menjaga jarak fizikal juga menjadi cabaran di banyak rumah jagaan kerana kebanyakannya sesak.
“Biasanya tempat tidur tidak dijarakkan 1 meter kerana pemilik rumah jagaan perlu mengurangkan kos bagi membolehkan lebih ramai mampu menghantar ibu bapa mereka ke sana.”
Mengulas laporan kematian membabitkan warga tua yang mendapat vaksin di negara-negara yang mula mengedarkannya, Tan berkata tiada hubungan langsung antara kematian dan vaksin.
“Hakikatnya, manusia akan mati. Itu adalah kenyataan hidup. Persoalannya, adakah mereka ini akan mati walaupun mereka tidak mendapat vaksin? Jawapannya: mungkin. ”
Tan turut merujuk jumlah kematian Covid-19 membabitkan individu berusia lebih 70 tahun. “Angka kematian Covid-19 membabitkan mereka yang berusia lebih dari 70 tahun adalah satu dalam empat atau satu dalam tiga. Tetapi apabila anda bercakap mengenai pemberian vaksin, risiko kematian daripada apa yang kami kumpulkan setakat ini adalah 0%. ”
Bagaimanapun, katanya penjaga perlu bersedia bahawa warga tua yang divaksin akan mengalami kesan sampingan seperti demam, sakit-sakit badan, sakit kepala dan bengkak di bahagian suntikan.
Tambahnya ramai penghuni rumah jagaan masih keliru mengenai wabak itu dan sekatan pergerakan.
“Ramai warga tua tidak memahami perubahan besar dalam rutin harian mereka,” kata Tan. “Lebih-lebih lagi, apabila ahli keluarga mereka tidak dibenarkan berkunjung.”
Akibatnya, mereka lebih berisiko untuk hilang ingatan dan menjadi lebih tertekan.