Dakwaan Tommy Thomas tak benar, kata Sundra Rajoo

Dakwaan Tommy Thomas tak benar, kata Sundra Rajoo

Bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia menyifatkan dakwaan terhadapnya dalam memoir Tommy Thomas "tidak benar dan memfitnah".

Bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, N Sundra Rajoo berkata, beliau mempunyai hak untuk mengambil tindakan pada masa sesuai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Sundra Rajoo menafikan dakwaan terhadapnya yang dibuat bekas peguam negara Tommy Thomas dalam memoirnya.

Sundra menjadi perhatian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabatnya pada 2018 kerana disyaki menggunakan dana kerajaan untuk mendapatkan bantuan daripada bekas menteri dan menteri yang masih berkhidmat untuk melanjutkan kontraknya.

Serbuan itu menyusuli surat tanpa nama yang dihantar kepada beberapa orang, termasuk SPRM, bekas peguam negara, bekas menteri luar Saifuddin Abdullah, dan bekas ketua polis negara Mohamad Fuzi Harun.

Sundra dalam kenyataan menyifatkan dakwaan terhadapnya dalam buku itu “tidak benar dan memfitnah”, serta menghina prosiding undang-undang yang masih sedang berjalan.

“Dakwaannya terhadap saya tidak benar sama sekali, dan saya mempunyai hak untuk mengambil tindakan pada masa sesuai,” katanya tanpa menyebut kenyataan mana yang dimaksudkan.

Beliau berkata, rayuannya ditetapkan pada 30 Apr ini untuk didengar Mahkamah Persekutuan.

“Oleh itu, buat masa ini, saya tidak akan membuat sebarang komen mengenai bab yang sub judice itu.

“Saya yakin keadilan akan muncul akhirnya.”

Semalam, peguam Sundra, Baljit Singh Sidhu berkata, Thomas tidak patut mendedahkan fakta mengenai kes belum selesai dalam bukunya serta membuat dakwaan bersifat sub judice.

Katanya, intipati pertuduhan Sundra ialah pembelian buku yang dibenarkan Pertubuhan Perundingan Undang-undang Asia Afrika.

“Pendedahan oleh Thomas berhubung nasihat yang diberikan perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja serta pegawai kerajaan lain sangat tidak wajar,” kata Baljit yang berpendapat peranan Thomas sebagai penasihat kerajaan berserta dengan kerahsiaan.

“Saya melihat beliau sudah melanggar sumpah kerahsiaannya menurut Akta Rahsia Rasmi dan berkemungkinan melakukan kesalahan bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.