
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam kenyataan berkata, permohonan berkenaan tidak teratur selaras dengan peruntukan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Hasil semakan ke atas dokumentasi permohonan, pada 6 Jan lalu pendaftaran kedua-dua parti itu ditolak berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta 335.
Hamzah berkata selaras dengan peruntukan Seksyen 18 Akta 335, permohonan rayuan boleh dibuat kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan tersebut.
“Pada 8 Januari lalu, Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang telah mengadakan perbincangan bersama pihak ROS bagi mendapatkan pandangan dan mengemukakan permohonan rayuan pada hari yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya hari ini.
Tambah beliau, Jawatankuasa Penaja Parti Muda sehingga kini belum berjumpa JPPM untuk konsultasi dan mengemukakan permohonan rayuan secara rasmi kepada beliau selaku Menteri Dalam Negeri.
Hamzah menegaskan, pertubuhan yang tidak didaftarkan mengikut Seksyen 7 Akta 335 menjadi pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 akta sama dan boleh dikenakan tindakan jika menjalankan sebarang aktiviti.