Pembeli pasar basah abai penjarakan sosial, CAP gesa tindakan tegas

Pembeli pasar basah abai penjarakan sosial, CAP gesa tindakan tegas

Kebanyakan pembeli hanya beri tumpuan kepada pemilihan barangan tanpa mematuhi SOP sepenuhnya.

Presiden CAP gesa polis, MKN ambil tindakan terhadap individu yang gagal patuhi penjarakan fizikal.
PETALING JAYA:
Tinjauan mendapati pembeli di beberapa pasar basah di Pulau Pinang tidak mempedulikan sepenuhnya peraturan penjarakan sosial.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, dalam kenyataan menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang gagal mematuhi penjarakan fizikal.

“Covid-19 amat mudah menjangkiti dan berpotensi membunuh, penjarakan sosial juga dipanggil ‘penjarakan fizikal’, amat penting kerana mengurangkan risiko bersentuhan dengan virus korona.”

Mohideen berkata, kebanyakan pembeli hanya memberikan tumpuan kepada pemilihan barangan tanpa mematuhi SOP sepenuhnya.

Tambahnya, mengamalkan penjarakan fizikal dengan jarak 6 kaki adalah langkah pencegahan untuk mengurangkan penularan Covid-19.

“Peraturan penjarakan fizikal salah satu langkah daripada tiga asas pencegahan yang perlu dipatuhi di samping membasuh tangan dan memakai pelitup muka.

“Penjarakan fizikal bermaksud mengekalkan jarak selamat antara diri anda dan orang lain yang bukan datangnya daripada isi rumah anda,” kata Mohideen.

Malaysia melaporkan kes Covid-19 baharu harian tertinggi ketika wabak ini melanda negara dengan 4,214 kes pada 1 Feb.

Perkembangan ini membawa kepada kes kumulatif sebanyak 219,173 kes jangkitan dan 770 kematian di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.