
Beliau dipetik Harian Metro berkata, sebaik saja siasatan selesai, pihaknya akan membuat pengumuman mengenai hasilnya.
Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyiasat memandangkan ia dikesan di negeri itu.
Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati wujud penyelewengan (dan) ajaran sesat, JAIS akan mengambil tindakan lanjut, termasuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab di mahkamah.
“Bagaimanapun, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat menghukum seseorang individu berdasarkan video yang tular.
“Sebaliknya, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk menyiasat. Ini kerana soal penyelewengan akidah hanya boleh dinilai pihak tertentu, bukannya semua orang boleh tentukan.”
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Nasrudin Hassan sebelum ini mengingatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran sesat yang didakwa dibawa individu dikenali sebagai “Ibu Yati”.
Katanya, ia susulan dakwaan lahirnya agama baru dikenali sebagai “Agama Melayu” yang menggunakan lafaz Syahadah pelik dan disambung pengakuan “Aku Melayu” sebanyak tujuh kali.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perkara berkenaan minggu lalu selepas sebuah video tular mengenainya.