
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Wan Khairuddin Wan Idris berkata, pasangan itu ditahan di rumah mereka dekat Kok Lanas di sini pada 1 pagi tadi.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan selepas polis menerima laporan ibu kandung mangsa yang mengesyaki anaknya didera selepas melihat kesan lebam dan parut pada muka serta badan anaknya.
“Daripada laporan yang diterima, ibu kandung mangsa berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai menyerahkan anaknya kepada pasangan berkenaan pada Ogos tahun lalu.
“Bagaimanapun, selepas diserahkan semula kepadanya November lalu, beliau mendapati ada kesan kecederaan di dahi, paha, tangan dan muka anaknya.”
Katanya, ibu mangsa yang juga ibu tunggal berasal dari Besut, Terengganu merasakan ada sesuatu tidak kena, lalu membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.
Beliau berkata, pemeriksaan pakar pediatrik mendapati ada kesan kecederaan lama (sebulan) disyaki didera, sebelum satu laporan polis dibuat.
“Hasil pemeriksaan pakar ortopedik mendapati mangsa mengalami kesan patah lama pada kedua belah tulang lutut dan di bahagian buku lali di sebelah kanan. Kesan tersebut lebih kurang dua bulan dan tulang telah bercantum.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota polis dari JSJ IPD Kota Bharu menjalankan siasatan dan menahan pasangan berkenaan di sebuah rumah di Kok Lanas awal pagi tadi.”
Wan Khairuddin berkata, ujian air kencing mendapati lelaki itu turut positif dadah jenis Methamphetamine.
“Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai penjual barang dalam talian dan pembantu taska direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001,” katanya.
Difahamkan, kanak-kanak itu anak bongsu daripada enam beradik dan diserahkan kepada pasangan tersebut, selepas ibu kandungnya bercerai, manakala lima lagi adik-beradiknya dipelihara bapa kandungnya sendiri.