
“Esok kita ada mesyuarat khas MKN yang akan dipengerusikan perdana menteri. Kita akan bincang dan kita akan mendengar laporan KKM (berhubung situasi semasa Covid-19),” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Sentul dan Tol Gombak.
Penularan kes Covid-19 semakin membimbangkan dengan lebih 5,000 kes dicatatkan selama tiga hari berturut-turut sejak Jumaat lalu, menyebabkan jumlah kumulatif meningkat kepada 214,959 kes.
Bulan lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, PKP di seluruh negara kecuali Sarawak yang dijadualkan berakhir 4 Feb ini tidak akan dilanjutkan.
Katanya, keputusan itu bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara dan PKP yang dijadualkan berakhir 4 Feb ini akan disambung dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Sementara itu, Ismail berkata, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat sudah meminta KKM, MKN serta Kementerian Perpaduan Negara mengeluarkan SOP untuk sambutan Tahun Baru Cina yang dijadualkan pada 12 Feb ini.
“Jadi, mereka akan bincang dan bentangkan kepada kita. Sebabnya, kalau kita bentang hari ini, seminggu lagi mungkin berbeza, jadi kita terpaksa tukar balik. Kita umumkan seminggu atau 3 hingga 4 hari sebelum Tahun Baru Cina.”