
Tanggapan negatif ini, kata beliau, menyebabkan pesakit kusta dan kontak rapat mereka bukan sahaja enggan kelihatan hadir di klinik, malah enggan disaring dan diberi rawatan.
“Sama-samalah kita berusaha untuk membasmi atau menipiskan stigma dan diskriminasi yang diyakini menjadi salah satu punca kepada penularan kusta dalam kalangan keluarga dan komuniti di lokaliti endemik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kusta Sedunia 2021 bertema “Bersama Hentikan Kusta”.
Hari Kusta Sedunia disambut setiap tahun pada hari Ahad terakhir bulan Januari.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, setiap pekerja kesihatan dan pemimpin masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan kesedaran mengenai penyakit ini, khususnya dalam kalangan komuniti di lokaliti endemik berisiko tinggi.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited untuk memperkukuh semua aktiviti kawalan dan pencegahan di bawah program Kawalan Kusta Kebangsaan dengan penekanan diberikan terhadap pengesanan kes secara aktif dalam kalangan golongan berisiko di lokaliti endemik.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencapai tahap eliminasi kusta pada 1994 dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk selari dengan sasaran ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 penduduk.