Majikan puji idea Charles Santiago mengenai perumahan pekerja asing

Majikan puji idea Charles Santiago mengenai perumahan pekerja asing

FMM meminta tambahan masa 12 bulan untuk memenuhi syarat baharu mengenai standard perumahan pekerja.

Seorang Ahli Parlimen mencadangkan majlis tempatan turut terlibat dalam pasukan petugas yang mengurus perumahan dan pusat kuarantin pekerja asing.
PETALING JAYA:
Pihak berkepentingan dalam industri menyambut baik idea seorang Ahli Parlimen bagi mewujudkan fasiliti pemulihan Covid-19 untuk pekerja asing yang diterajui majlis tempatan.

Menurut Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), pasukan petugas kerajaan yang merangkumi majlis tempatan dapat menganjurkan kerjasama lebih baik dalam mengurus pusat kuarantin dan perumahan bagi pekerja asing.

Presiden FMM Soh Thian Lai berkata, majikan menghadapi masalah dalam mencari ruang tambahan untuk tempat tinggal dan mendapatkan kelulusan untuk bangunan yang digunakan sebagai asrama pekerja.

“Banyak majlis tempatan tidak mempunyai garis panduan, prosedur dan garis masa standard untuk membantu industri dengan kelulusan atau sokongan yang diperlukan,” katanya.

Cadangan untuk melibatkan majlis tempatan datang daripada Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang berkata minggu lalu bahawa sebuah pasukan petugas yang diterajui majlis tempatan harus dibentuk dengan majikan dan kumpulan profesional bagi membantu merancang, memantau dan melaksanakan ujian dan pemulihan Covid-19 dalam bidang kuasa majlis tersebut.

Kata Soh, FMM menolak cadangan kerajaan bahawa majikan harus mengurus pusat kuarantin untuk pekerja

“Pusat kuarantin untuk Covid-19 tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada pihak yang tidak terlatih,” katanya.

Beliau berkata, FMM menggesa Kementerian Sumber Manusia memberi tambahan masa 12 bulan untuk syarikat mematuhi undang-undang mengenai standard minimum perumahan pekerja.

Katanya, “majikan sedang melakukan yang terbaik untuk mematuhinya”, tetapi terdapat kekurangan asrama dan tempat tinggal berpusat untuk memenuhi syarat penginapan bagi setiap pekerja.

“Industri tidak memiliki kemampuan untuk segera membangunkan asrama mereka sendiri kerana perlu mencari tanah, mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan, dan membina,” katanya.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, majlis tempatan harus lebih bersikap fleksibel dan memudah cara dalam proses membenarkan penukaran ruang kediaman seperti itu kerana terdapat kekurangan bangunan komersial hampir di semua tempat.

“Syarat mendapatkan persetujuan daripada penduduk sekitar untuk majikan menempatkan pekerja asing mereka di sesebuah fasiliti penginapan bersifat diskriminatif dan harus dikaji semula,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.