
Gesaan itu dibuat bekas menteri dan timbalan menteri KPWKM, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Hannah Yeoh.
Mereka turut menggesa kementerian berkenaan memanfaatkan platform SMS Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam melaporkan kes penderaan.
“Semasa kami mentadbir, perkhidmatan Talian Kasih diperluaskan kepada aplikasi WhatsApp.
“Kami bekerjasama dengan GLC serta pelbagai syarikat korporat bagi mempromosi nombor kecemasan ini di lebuhraya, rangkaian farmasi, mengiklankannya di Google, dalam perkhidmatan bas, MRT dan LRT, syarikat telekomunikasi, papan iklan, malah sehingga ke 35 lokasi melibatkan 282 panggung wayang di seluruh negara,” kata Wan Azizah dan Hannah dalam kenyataan bersama.
Mereka turut menggesa kerajaan supaya menambah bilangan pelindung kanak-kanak dan memberi latihan dari semasa ke semasa kepada pegawai sedia ada.
“Menambah baik kursus praperkahwinan dengan mewajibkan topik keibubapaan untuk mengelakkan ibu bapa daripada mengabaikan tanggungjawab mereka.
“Sebelum ini, usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan dilakukan dengan memperluas kursus keibubapaan oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan melancarkan Direktori Perkhidmatan Keluarga sebagai ‘one stop centre’ yang memberikan khidmat sokongan kepada ahli keluarga yang memerlukan bantuan,”katanya.
Katanya, perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan negara, malah ia turut menjejaskan institusi kekeluargaan.
Jumaat lepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka.
Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira 4 petang, namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.